Ahad, 4 Januari 2015 | 8:37am

BN perlu selesai dua isu utama sebelum pilihan raya

TAHUN yang ditinggalkan ialah tahun bersejarah dalam politik Sarawak. Pada 28 Februari lalu, Sarawak menyaksikan peralihan kepemimpinan apabila Ketua Menteri paling lama berkuasa melepaskan jawatannya.

Tun Abdul Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun akhirnya berundur dan jawatan beliau diserahkan kepada Tan Sri Adenan Satem, sementara beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri, menggantikan Tun Abang Salahuddin.

Untuk 2015, adakah Pilihan Raya Negeri akan diadakan pada tahun ini? Meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri sekarang berakhir pada 20 Jun 2016, ada yang meramalkan Adenan memilih untuk mengadakan pilihan raya selepas Ogos nanti. Dengan jumlah kerusi yang bakal meningkat kepada 82 daripada 71 sekarang, peluang untuk Barisan Nasional (BN) terus menang dengan majoriti yang lebih besar adalah pasti.

Meskipun kerusi yang kini dalam genggaman pembangkang kekal, dijangka kerusi baharu itu pasti dimenangi BN. Pada Pilihan Raya 2011, BN memenangi 55 kerusi, manakala pembangkang 15 kerusi dan calon BEBAS satu. Pada pilihan raya itu, PKR memenangi tiga daripada 49 kerusi yang ditandingi dan DAP 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi. PAS gagal menang sebarang kerusi.

Tepati kehendak masyarakat

Tambahan pula, berdasarkan pelbagai kenyataan, tindakan serta langkah simbolik dan konkrit Adenan setakat ini membabitkan pelbagai dasar, termasuk Tanah Adat Bumiputera (NCR), royalti minyak, pembalakan haram dan kalimah Allah, ternyata serasi dengan aspirasi masyarakat pelbagai etnik di Sarawak. Namun, adakah semua ini bakal diterjemahkan dalam bentuk undi?

Namun, BN perlu menyelesaikan dua masalah utama. Pertama, agihan kerusi sesudah penambahan 11 kerusi diluluskan. Dijangka Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai parti tulang belakang BN negeri akan mendapat sekurang-kurangnya enam kerusi.

Kedua, berkaitan nasib dua parti baharu, United Peoples Party (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS). Adakah kedua-dua parti itu akan diterima ke dalam BN?

Soalan ini relevan kerana mengikut amalan, hasrat parti lain untuk menyertai BN akan hanya dimungkinkan jika mendapat konsensus semua komponen. Dalam keadaan sekarang, bukan hanya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif dan Demokratik (SPDP) yang menentang, tetapi juga Parti Rakyat Sarawak (PRS). Malah, tiga parti terbabit mengadakan semacam pakatan dengan menjalinkan 'percantuman minda' bagi mengukuhkan BN dan menentang sebarang ancaman pembangkang. Sebenarnya, bukan menjadi rahsia lagi, tiga pemimpin berkenaan menentang keras kemasukan UPP dan TERAS.

Nasib UPP, TERAS

Meskipun pemimpin UPP, Datuk Seri Wong Soon Koh dan pemimpin TERAS, Tan Sri William Mawan masih dalam BN, kenyataan Perdana Menteri ketika merasmikan persidangan SUPP bahawa BN tetap bersama parti tertua Sarawak itu, membayangkan harapan parti baharu itu menyertai BN masih dalam teka-teki. Kini, dengan penyertaan dua parti itu dalam BN, seperti pada tahun 1980-an kerajaan pimpinan Ketua Menteri kelima itu adalah atas dasar pakatan BN-Plus.

Keadaan yang dihadapi Adenan umpama ditelan mati emak diluah mati bapa, apatah lagi UPP dan TERAS ada penyokong masing-masing. Lagipun, jika mereka tidak diterima masuk BN, mungkinkah mereka akan menerima keadaan itu sekadar sebagai takdir atau bergerak secara senyap untuk memastikan calon SPDP dan SUPP turut tercabar?

Hakikatnya, keadaan menang-menang perlu diwujudkan bagi memastikan tidak berlaku pihak mensabotaj calon BN. Masalah sekarang akibat daripada formula yang salah dari awal apabila mereka yang dipecat daripada parti masih berada dalam kerajaan.

Dalam perkembangan mengejutkan, William keluar daripada SPDP dan menerajui TERAS atas alasan bahawa beliau mulai disingkirkan oleh beberapa pemimpin SPDP ekoran keputusannya menerima kembali empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri ke pangkuan SPDP. Soon Koh pula keluar SUPP dan menyertai TERAS, tetapi tidak lama kemudian keluar dan memimpin UPP yang diluluskan pendaftarannya pada 14 Julai.

Ketika BN perlu selesaikan masalah berkenaan, selain berdepan isu utama seperti NCR, kalimah Allah dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam pilihan raya nanti, pembangkang kelihatannya berdepan masalah lebih besar.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X