Ahad, 4 Januari 2015 | 1:07am

La Liga: Dua gol Griezmann bantu Atletico benam Levante


PEMAIN tengah Atletico Madrid, Antoine Griezmann (tengah) dikawal ketat oleh pemain Levante dalam perlawanan bola sepak Liga Sepanyol di stadium Vicente Calderon, Madrid awal pagi ini. Atletico Madrid tewaskan Levante 3-1. - Foto AFP

MADRID: Juara La Liga, Atletico Madrid kekal dalam perlumbaan mempertahankan gelaran mereka apabila merakamkan kemenangan mudah 3-1 mengatasi Levante, awal pagi ini.

Dua gol daripada Antoine Griezmann pada minit ke-18 dan 47 serta satu sumbangan Diego Godin (m-82) harus melegakan pengurus pasukan, Diego Simeone.

Levante bangkit merapatkan defisit dengan gol sagu hati pada minit ke-62 menerusi Nabil El Zhar.

Fernando Torres yang kembali semula ke pangkuan pasukan lama, Isnin lalu tidak beraksi tetapi hanya hadir menonton.

Atletico kini terikat di tempat kedua bersama Barcelona dan satu mata di belakang pendahulu, Real Madrid. - AFP

Berita Harian X