Ahad, 9 April 2017 | 1:10pm

Hilang selepas terjun sungai


MANGSA, Azizi Amir. - Foto ihsan PDRM

KOTA TINGGI: Seorang lelaki hilang selepas dipercayai terjun ke sungai selepas bot dinaikinya dihanyutkan arus deras di Sungai Sedili di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mangsa Azizi Amir, 45, hilang selepas terjun ke sungai ketika memancing di bawah Jambatan Haji Mohd Lazim di sini, selepas menyedari botnya dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, berkata polis mendapat maklumat berhubung kejadian daripada rakan mangsa memaklumkan Azizi terjun ke sungai ketika memancing di kawasan berkenaan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada jam 8 pagi tadi dan digerakkan ke lokasi pencarian membabitkan 19 aset (bot) iaitu polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan tempatan.

"Seramai 57 anggota termasuk 24 nelayan tempatan dan empat kakitangan Jabatan Perikanan turut terbabit dalam operasi SAR pagi ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rahmat berkata, keadaan cuaca baik dan paras air mula surut membolehkan operasi SAR berjalan dengan lancar.

Berita Harian X