Sabtu, 8 April 2017 | 9:51pm

EPL: Spurs kenduri gol belasah Watford

SON Heung-min.- Foto Reuters

LONDON: Dua jaringan Son Heung-min membantu Tottenham Hotspur membelasah Watford 4-0 sebentar tadi, untuk kembali merapatkan jurang kepada empat mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Selepas rembatan lencong Dele Alli memecah kebuntuan pada minit ke-33, Spurs terus garang untuk mengesahkan kemenangan ke-11 berturut-turut di laman sendiri di White Hart Lane.

Eric Dier menjadikan kedudukan 2-0 enam minit kemudian, sebelum Heung-min menambah jaringan ketiga dengan percubaan rendah ketika permainan menuju ke rehat separuh masa.

Heung-min meledak jaringan peribadi keduanya pada aksi itu menerusi percubaan voli pada minit ke-54 untuk melengkapkan kemenangan bergaya Spurs.

Kemenangan keenam liga berturut-turut menyaksikan Tottenham kini menghimpun 68 mata daripada 31 perlawanan, dengan Chelsea yang akan bertemu Bournemouth sebentar lagi, menghimpun 72 mata - REUTERS

Berita Harian X