Jumaat, 7 April 2017 | 5:34pm

3 parah kemalangan lima kenderaan di PLUS

KEADAAN di lokasi kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori tangki dan dua treler di Kilometer 401.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, pagi tadi.

HULU SELANGOR: Tiga parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori tangki dan dua treler di Kilometer 401.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 7 pagi, tiga yang parah adalah dua pemandu dan seorang penumpang dua buah kereta yang turut terbabit dalam kemalangan itu, bagaimanapun pemandu ketiga-tiga kenderaan berat tidak cedera.

Mangsa yang parah dikenal pasti sebagai Mohd Syafiq Jamaluddin, 30-an, yang memandu Honda City dan Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 27, yang memandu Honda Civic serta penumpangnya Nur Fadhilah Roslan, 24.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata kemalangan itu berlaku apabila lori tangki muatan susu getah yang pada mulanya berhenti di lorong kecemasan secara melulu keluar dari lorong berkenaan untuk meneruskan perjalanan.

"Pada masa sama, sebuah treler muatan dawai besi yang berada di lorong kiri sekali tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang lori tangki berkenaan menyebabkan susu getah tumpah dan melimpah di atas lebuh raya.

"Sebuah lagi lori treler yang berada di belakang lori treler pertama sempat mengelak daripada merempuh kedua-dua kenderaan di hadapannya namun ada dawai besi yang dibawa treler pertama terkeluar dan melekat pada tayar kenderaannya, mendorong pemandu berhenti di lorong kecemasan untuk menariknya keluar.

"Sebaik saja treler terbabit hendak memulakan perjalanan, kereta dipandu Mohd Iqbal terbabas dan merempuhnya menyebabkan kenderaan itu melintang di tengah jalan sebelum dirempuh Honda City dipandu Mohd Syafiq," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, semua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Slim River dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X