Jumaat, 7 April 2017 | 3:24pm

Ahli PAS berhimpun bantah tindakan DAP


ANTARA penyokong PAS yang membuat himpunan aman di hadapan Masjid Abdul Kadir, Jalan Telaga Air, Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

BUTTERWORTH: Lebih 50 ahli PAS Kawasan Kepala Batas dan Bagan hari ini, berhimpun secara aman di Masjid Abdul Kadir di sini, hari ini, bagi membantah tindakan DAP yang didakwa sengaja mengganggu pembentangan usul oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, semalam.

Jurucakapnya, Ibrahim Hamid, berkata lebih mengecewakan apabila terdapat beberapa Ahli Parlimen beragama Islam daripada PKR turut berbuat demikian, semata-mata untuk melengahkan pembentangan usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

"Justeru, adalah wajar jika parti memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang kini jelas 'bertuankan' DAP, sekali gus memperlekehkan PAS sebagai rakan seperjuangannya.

"Malah, kami menyokong keputusan bijak Presiden (Abdul Hadi) yang memutuskan kerjasama politik dengan DAP kerana parti itu kini adalah gunting dalam lipatan," katanya ketika ditemui pemberita.

Ketika sidang Dewan Rakyat semalam, beberapa Ahli Parlimen DAP dan PKR dilihat sengaja cuba mencelah pembentangan sehingga menyebabkan Abdul Hadi terpaksa berhenti seketika.

Berita Harian X