Khamis, 6 April 2017 | 2:46pm

Hadi cuba dihalang rakan pembangkang


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang yang juga bekas sekutu PAS menggunakan pelbagai hujah untuk menghalang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355), di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Pembentangan RUU355 oleh Presiden PAS itu tertangguh hampir 35 minit apabila beberapa wakil pembangkang lain menggunakan pelbagai hujah memetik Peraturan Mesyuarat bagi menghalang pembentangan itu.

Sesekali tindakan wakil pembangkang itu menyebabkan dewan gamat apabila ramai yang mahu bercakap serentak tetapi berupaya dikawal oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Wakil pembangkang seperti Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah); Dr Lee Boon Chye (PKR - Gopeng); Gooi Hsiao Leung (PKR- Alor Setar) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) beberapa kali menggunakan Peraturan Dewan untuk mempersoalkan kewajaran Pandikar Amin membenarkan Abdul Hadi (PAS-Marang) membacakan rang undang-undang itu.

Gobind juga membangkitkan mengenai saman pemula yang dikemukakan kepada Pandikar Amin, Setiausaha Dewan Rakyat dan Abdul Hadi supaya RUU355 itu diisytiharkan tidak mengikut Perlembagaan dan tidak harus dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) bangun menjelaskan injunksi seumpama itu pernah difailkan pada Jun lalu, untuk menyekat usul Hadi tetapi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolaknya.

Bagaimanapun, Pendikar Amin akhirnya meminta Abdul Hadi membentangkan RUU355 itu sekitar jam 12.35 tengah hari sebelum Dewan Rakyat ditangguhkan untuk rehat tengah hari.

Pandikar Amin juga memberi amaran akan mengarahkan Ahli Parlimen yang cuba menghalang pembentangan, keluar dewan.

Apabila banyak rujukan kes mahkamah diberikan kepadanya, Pandikar secara berseloroh berkata:

"Pembangkang jadikan saya seolah-olah hakim dengan mempertikaikan keputusan saya membenarkan pembentangan usul ini.

"Jangan ganggu pembentangan usul Marang (Abdul Hadi). Jika masih degil, saya akan arahkan keluar dewan," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X