Khamis, 6 April 2017 | 10:43am

Pemandu maut bas rempuh treler rosak


KEADAAN bas ekspres dua tingkat selepas merempuh sebuah treler rosak diletakkan di tepi jalan berhampiran Kampung Kubang Rusa, Jalan Lipis-Merapoh, awal pagi tadi. - Foto ihsan orang awam

LIPIS: Seorang pemandu bas ekspres maut selepas kenderaan itu merempuh sebuah treler rosak diletakkan di tepi jalan berhampiran Kampung Kubang Rusa, Jalan Lipis-Merapoh, dekat sini, awal pagi tadi.

Sementara itu, pemandu pertama bas ekspres berkenaan dan dua lagi penumpang wanita cedera dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi.

Difahamkan mangsa yang juga pemandu kedua dibawa keluar oleh orang awam dan sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis yang tiba kira-kira jam 3.21 pagi selepas menerima panggilan pada jam 2.30 pagi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, berkata mayat pemandu berkenaan dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat manakala mangsa cedera dibawa ke Hospital Gua Musang, Kelantan.

Difahamkan ketika kejadian bas ekspres dua tingkat itu membawa 39 penumpang dan semuanya selamat.

Berita Harian X