Rabu, 5 April 2017 | 3:59pm

Asfan teruja isteri mengandung anak ketiga


Asfan (kiri) bersama isterinya Ain Sakinah (kanan) dan anak Ali Haytham Shah Norasfan Shah, 4 (dua kanan) dan Ali Wakeel Shah Norasfan Shah, 2 di Ara Damansara, Petaling Jaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Asfan, berkongsi kegembiraan bakal bergelar bapa kali ketiga apabila isterinya, Ain Sakinah, kini disahkan hamil lebih sebulan.

Asfan atau nama penuhnya Norasfan Shah Shah Rudin, 32, berkata walaupun tidak merancang untuk menambah anak dalam masa terdekat, beliau menyifatkan kandungan itu sebagai rezeki buat keluarganya.

"Doktor baru saja mengesahkan isteri mengandung kira-kira dua minggu lalu. Sebelum berjumpa dengan doktor, kami terlebih dulu membuat pemeriksaan sendiri di rumah.

"Pada asalnya kami mahu fokus pada dua anak saja buat sementara waktu ini, tetapi tak sangka pula Allah menambahkan lagi rezeki kami," katanya kepada BH Online.

Asfan berkata demikian ditemui pada majlis Malam Puisi Riong di Balai Berita, di sini malam tadi.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Alasan Untuk Bahagia itu sudah pun mempunyai dua cahaya mata iaitu Ali Haytham Shah, 4, dan Ali Wakeel Shah, 2.

Asfan menyifatkan, kehadiran anak ketiga sebagai pembuka pintu rezeki buatnya dalam karier seni.

Katanya, bermula dengan kehadiran Haytham dan kemudian Wakeel, ada saja tambahan rezeki yang hadir sehingga membuatkan beliau tidak menang tangan menguruskan kerjaya seni dan perniagaan.

"Saya percaya anak adalah pembawa rezeki ibu bapanya. Sebab itu saya gembira dan teruja apabila mendapat tahu isteri mengandung lagi.

"Berdasarkan apa yang saya lihat, ketika kehadiran Haytham, perniagaan burger bakar yang diusahakan memberi keuntungan sangat besar, kemudian saya disenaraikan sebagai calon Top 5 pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

"Ketika kehadiran Wakeel pula, saya sekali lagi melekat sebagai calon Top 5 ABPBH, kemudian saya mengubah hala tuju dengan bernaung di bawah syarikat pengurusan Rusa Music. Lagu pula menjadi hits. Dan, kehadiran anak ketiga, semestinya saya mengharapkan rezeki yang baik-baik Insya-Allah," ujarnya lagi.

Tambah Asfan, mengikut perancangan karier seni, beliau akan melancarkan album sulung sekitar tahun ini.

Sebelum itu, beliau bakal tampil menerusi single baharu, Kisah Cinta, yang juga lagu runut bunyi drama Shh...I Love You siaran TV3.

15 dibaca
Berita Harian X