Rabu, 5 April 2017 | 7:23am

United hampir diaibkan Everton di Old Trafford


PENYERANG Manchester United, Zlatan Ibrahimovic (tengah) dicabar pemain Everton, Ashley Williams (kanan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto EPA

MANCHESTER: Zlatan Ibrahimovic menandakan dia sudah kembali daripada penggantungan dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-94 ketika Manchester United diikat 1-1 oleh Everton di Old Trafford.

Dalam aksi awal pagi tadi, gol pertama Phil Jagielka dalam tempoh hampir dua tahun nyaris merosakkan harapan United untuk memburu kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, di minit terakhir permainan, tindakan Ashley Williams yang menampan bola menggunakan tangannya berpunca daripada rembatan Luke Shaw membolehkan Ibrahimovic menewaskan penjaga gawang, Joel Robles menerusi sepakan penalti.

United mungkin kekal dengan rekod 20 perlawanan tanpa kalah dalam kempen EPL namun harapan terbaik untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan kini mungkin bergantung dengan kemampuan untuk memenangi Liga Europa.

Keputusan seri di laman sendiri itu yang kesembilan buat skuad bimbingan Jose Mourinho pada musim ini.

Pada perlawanan itu, penyerang Wayne Rooney langsung tidak disenaraikan dan Mourinho memberikan alasan kaptennya itu bergelut dengan masalah buku lali.

Dengan meletakkan Henrikh Mkhitaryan yang tampak tidak begitu menjadi di bangku simpanan, Mourinho jelas mahu barisan serangannya beraksi dengan lebih baik susulan keputusan seri 0-0 bertemu West Bromwich Albion sebelum ini.

Ibrahimovic hampir meletakkan tuan rumah seawal minit kelima apabila berjaya menyelinap ke kawasan penalti namun gerakannya dimatikan Williams sebelum mereka dikejutkan dengan gol pembukaan Everton pada minit ke-22.

Gol itu hadir beberapa saat selepas David de Gea menghalang cubaan jarak dekat Kevin Mirallas yang berpunca daripada hantaran tinggi Gareth Barry.

Berpunca daripada sepakan sudut, tandukan Williams berjaya dimanfaatkan Jagielka sekali pun dia menerima tekanan daripada Marcos Rojo untuk melepaskan sepakan menewaskan De Gea.

AFP.

Berita Harian X