Selasa, 4 April 2017 | 5:04pm

PAS desak kaji semula pindaan Akta 164

 


KUALA LUMPUR 11 MARCH 2017. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika sesi dialog di Majlis Makan Malam dan Dialog Politik di Dewan Seri Iskandar, Setiawangsa. NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.

KUALA LUMPUR: PAS mahu Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) dikaji semula secara mendalam, sebelum dibentangkan di Parlimen.

 

Gesaan itu timbul selepas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan RUU itu, semalam.

 

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pindaan Akta 164 yang dijadual dibaca kali kedua minggu ini, bakal mencetuskan implikasi serius terhadap kebebasan orang Islam mengamalkan agama tanpa gangguan mana-mana pihak, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

"(Implikasi lain termasuklah) pencemaran terhadap keutuhan institusi Mahkamah Syariah serta keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan etnik dalam negara kita.

 

"PAS mencadangkan RUU 164 dikaji semula secara mendalam, menerusi pembentukan satu Jawatankuasa Khas untuk merangka dan mengemukakan penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Semalam, Harussani mendesak pembentangan RUU 164 ditangguhkan kerana ada pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam, selain berlawanan dengan fatwa diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-87 pada Jun 2009.

 

Antara pindaan yang bertentangan dengan hukum syarak adalah pada Seksyen 88A (seksyen baharu) yang menyebut penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

 

Abdul Hadi berkata, jawatankuasa yang dicadangkan perlu membabitkan semua pihak berkepentingan dalam kalangan penganut Islam dan agama lain.

 

"Jawatankuasa itu juga perlu mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil dan badan bukan kerajaan (NGO), iaitu mereka yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164," katanya.

Berita Harian X