Selasa, 4 April 2017 | 4:15pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya. - Foto Sharul Hafiz Zam

40 organisasi hulur sumbangan MWM 2017

KUALA LUMPUR: Penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2017 bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2016 (HKM 2016) menerima sumbangan berjumlah RM374,500.

Sebanyak 40 organisasi memberi sumbangan yang terdiri daripada syarikat korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan media.

PETRONAS antara penaja utama bagi MWM 2017 yang memberi tajaan ganjaran wang tunai sebanyak RM300,000 yang bakal diterima oleh pemenang HKM 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya, berkata jumlah sumbangan yang dikumpulkan sehingga semalam itu adalah rendah berbanding sumbangan diterima pada MWM 2016.

"Walaupun sumbangan yang dikumpulkan agak rendah berbanding tahun lalu, kita tetap menghargai tajaan berkenaan bagi menjayakan majlis itu.

"Seramai 291 penyertaan bagi 20 kategori yang dipertandingkan. Penilaian karya kewartawanan yang menyertai kini memasuki pusingan kedua dan senarai lima calon teratas akan dipaparkan di laman web MPI selepas 10 April depan. 

"Penyertaan berkenaan dinilai oleh 20 panel hakim yang terdiri daripada wartawan kanan veteran dan ahli akademik dalam bidang media dan kewartawanan," katanya dalam majlis sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2017, di sini, hari ini.

Antara Yang turut hadir, Pengerusi Bersama Malam Wartawan Malaysia 2017 yang juga Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar; Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Zakaria Abd Wahab.

Chamil berkata, pemenang bagi kategori yang disertai akan membawa membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

"Tempat kedua dan ketiga akan menerima sagu hati sebanyak RM1,000 dan sijil. Kesemua hadiah pemenang adalah tajaan daripada PETRONAS. 

"Karya terbaik penyertaan juga akan diangkat sebagai penerima Hadiah Kajai yang akan membawa pulang RM30,000, trofi dan sijil," katanya

Beliau berkata, buat pertama kalinya pada MWM 2017, panel hakim akan memilih seorang Tokoh Media iaitu individu yang memainkan peranan penting dalam membangunkan organisasi media.

"Kita turut memberi anugerah bagi kategori Tokoh Wartawan 2016 dan satu majlis berasingan akan diadakan pada hujung tahun ini," katanya

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka hadir pada MWM 2017 yang akan diadakan pada 21 April depan, di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Berita Harian X