Selasa, 4 April 2017 | 8:44am

Doping: Russia rekod kes tertinggi 2015


Ibu pejabat Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di Montreal.

MONTREAL: Atlet Russia mendahului carta kes penyalahgunaan dadah tertinggi pada tahun 2015, dedah Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam laporan tahunan mereka yang disiarkan hari ini.

Berdasarkan statistik WADA pada 2015, seramai 176 atlet Russia didapati bersalah kerana melanggar peraturan anti-doping dan jumlah itu melebihi negara lain.

Itali berada di tangga kedua dengan 129 kes manakala India ketiga dengan 117.

Perancis mencatatkan 84 kes dadah manakala Belgium 67 kes diikuti Amerika Syarikat yang mempunyai 50 kes dan berada di tangga kesembilan dalam carta berkenaan.

Bagi kategori acara sukan yang banyak terbabit dalam kes ujian dan positif doping, sukan bina badan mempunyai kes paling tinggi dengan 270 kes diikuti sukan olahraga dengan 242 kes.

Begitu juga dengan acara sukan angkat berat yang secara berterusan dibelenggu masalah dadah selepas merekodkan 239 kes manakala berbasikal di tangga keempat dengan 200 kes.

Bola sepak pula berada di tangga keenam senarai dengan 108 kes manakala ragbi merekodkan 80 kes.

Secara keseluruhannya, WADA berdepan 1,929 kes pelanggaran peraturan dadah pada 2015 dengan membabitkan 122 negara daripada 85 jenis sukan.

"Walaupun ujian kekal penting bagi mengesan doping, beberapa perkara yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan tugasan siasatan juga menjadi lebih utama.

"Kami cuba melindungi hak atlet yang bersih (daripada kes dadah) di seluruh dunia," kata Presiden WADA, Craig Reedie dalam satu kenyataan. - AFP.

Berita Harian X