Selasa, 4 April 2017 | 6:00am

Fiesta Muslimah BH buka ruang ke pasaran global

KUALA LUMPUR: Dominasi fesyen Muslimah bukan saja menguntungkan pasaran tempatan tetapi turut memberi peluang pengusaha fesyen di negara ini meluaskan pasaran mereka ke peringkat global.

Menerusi Fiesta Muslimah BH, iaitu karnival beli-belah berasaskan produk berkaitan yang dianjurkan pada 2014 dan 2015, ternyata memberikan impak positif kepada usahawan yang terbabit dalam perniagaan berkenaan.

Justeru, Fiesta Muslimah BH 2017 ('17) kembali lagi untuk kali ketiga yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 2, 3 dan 4 Jun depan bagi menyemarakkan industri fesyen tempatan.

Pereka fesyen, Yaya Rosly, yang pernah menyertai FMBH 2015, menyifatkan ia antara platform terbaik membantu mereka mencari peluang pasaran baharu termasuk menembusi pasaran Brunei dan Singapura.

Katanya, maklum balas positif diterima beliau ketika penyertaan fiesta terbabit dan melihat ia antara tarikan penting usahawan untuk memasarkan jenama mereka, sekali gus memartabatkan industri fesyen Muslimah tempatan.

"Penyertaan pada FMBH 2015 membolehkan saya meluaskan pasaran hingga ke Brunei dan Singapura apabila kami menerima banyak tempahan daripada pelanggan di sana selain ada yang berminat mengadakan kerjasama dengan jenama kami.

"Ini adalah satu perkembangan baik untuk jenama Yaya Rosly lebih dikenali ramai hingga ke negara jiran," katanya yang dihubungi BH, hari ini.

Martabatkan fesyen tempatan

Penganjuran FMBH 2015 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), dua tahun lalu disifatkan berjaya memartabatkan fesyen tempatan apabila turut diintai pemain dalam industri fesyen termasuk dari Indonesia, Singapura, Brunei malah juga dari Asia Barat.

Yaya berkata, rekaan kontemporari busana Muslimah adalah antara yang menarik perhatian pelanggan, malah turut diminati pengunjung bukan beragama Islam.

"Pemakaian sopan yang ditonjolkan pada imej busana Muslimah semakin menarik perhatian masyarakat misalnya antara rekaan kami yang paling mendapat sambutan ialah kardigan.

"Ia petanda positif dalam perkembangan industri ini kerana ia mempunyai pasaran yang cukup luas bukan hanya terhad kepada masyarakat Islam kita," katanya.

Berita Harian X