Isnin, 3 April 2017 | 7:06pm

16 ditahan guna kad pengenalan palsu


PEGAWAI Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan kad pengenalan palsu yang disembunyikan dalam bekas beras dalam Operasi Terancang JPN yang dijalankan di tiga lokasi sekitar Pasir Gudang dan Masai, Johor. - Foto Ihsan JPN

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 16 individu termasuk lima wanita yang dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri dalam operasi di Pasir Gudang dan Masai, Johor, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli berkata mereka yang ditahan dalam operasi membabitkan Pegawai Penguatkuasa JPN Putrajaya, Jabatan Imigresen serta Pasukan Gerakan Am itu, berusia antara 18 hingga 58 tahun.

"Kesemua suspek mendakwa berasal dari Sabah, bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati mereka berasal dari selatan Filipina berdasarkan penggunaan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri serta menyimpan kad pengenalan yang bukan kepunyaan sendiri.

"Siasatan juga mendapati mereka memperoleh kad pengenalan itu melalui sindiket dengan harga RM300 hingga RM3,000 setiap satu.

"Mereka mengaku menggunakan kad pengenalan berkenaan selama dua minggu hingga setahun dan dipercayai masuk ke Malaysia melalui Sandakan, Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yazid berkata, JPN juga merampas pelbagai dokumen yang menggunakan nombor pengenalan diri palsu seperti kad pekerja, kad Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pas kerja bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Johor Port dan Panasonic serta beberapa kilang lain.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri serta menyimpan kad pengenalan yang bukan kepunyaan sendiri.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

"JPN akan menjalankan operasi secara berterusan untuk membanteras penyalahgunaan dokumen JPN terutama kad pengenalan yang banyak digunakan oleh warga negara asing di negara ini," katanya.

Berita Harian X