Isnin, 3 April 2017 | 4:30pm

Maybank sasar transaksi perbankan mudah alih RM25 bilion

KUALA LUMPUR: Maybank menjangkakan nilai transaksi perbankan internetnya meningkat 50 peratus tahun ini kepada RM25 bilion, didorong oleh aplikasi perbankan baharu Maybank2u dan momentum pertumbuhan berterusan yang dicapai tahun lalu.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Maybank, Michael Foong, berkata nilai transaksi perbankan digital Maybank kini berkembang pada kadar lebih pantas berbanding transaksi platform dalam talian.

"Pada 2016, jumlah transaksi yang dikendalikan menerusi peranti mudah alih berkembang sebanyak 72 peratus, manakala transaksi menerusi semua saluran dalam talian (termasuk komputer meja dan peribadi) naik sebanyak 41 peratus.

"Ini mencerminkan bahawa pengguna semakin selesa dengan platform digital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Michael berkata, berikutan perubahan pantas dalam tingkah laku pengguna, aplikasi Maybank2u melalui proses penjenamaan semula sepenuhnya untuk menjadikannya lebih mudah dan selesa kepada pengguna.

Katanya, ia akan direka untuk mesra semua peranti teknologi, selain membolehkan pengguna mengendalikan aktiviti perbankan pada bila-bila masa dan di mana juga.

Pengenalan aplikasi baharu Maybank2u itu katanya, bertujuan membawa elemen yang positif dalam perhubungan antara pelanggan dengan bank, seterusnya mengukuhkan komitmen menjadi bank digital pilihan utama.

"Apa yang kami mahu hasilkan adalah sebuah aplikasi yang dapat memenuhi segala keinginan pelanggan untuk melakukan aktiviti seharian mereka.

"Aplikasi Maybank2u yang diperbaharui ini menawarkan interaksi pengguna yang pantas, kerana ia dibangunkan dengan mengambil kira sistem paparan terperinci bagi memberikan pengalaman yang paling optimal.

"Ciri yang dipertingkatkan membolehkan pelanggan mendapatkan akses segera kepada baki akaun menerusi teknologi pengecaman cap jari. Turut dimasukkan dalam aplikasi ini adalah keupayaan untuk melihat baki agregat semua akaun dengan menyediakan maklumat yang lebih baik terhadap kedudukan kewangan pelanggan," katanya.

Michael berkata, satu lagi fungsi yang pertama kali diperkenalkan dalam perbankan mudah alih adalah 'Secure2u' yang membolehkan pelanggan menikmati keselamatan tambahan dalam urus niaga.

Beliau berkata, fungsi ini akan diperkenalkan penghujung April ini bagi membolehkan pelanggan mempunyai pilihan untuk mengiktiraf dan membuat pengesahan transaksi digital melalui aplikasi baharu ini.

Katanya, pelanggan juga tidak lagi akan berdepan dengan kelewatan untuk menerima Kod Kebenaran Transaksi (TAC) kerana sistem pesanan ringkas (SMS) akan dihapuskan kerana 'Secure2u' memiliki keistimewaan dengan Secure TAC yang membolehkan TAC dikeluarkan pada aplikasi mudah alih.

"Aplikasi baharu ini membolehkan Pindahan Wang Terbuka yang diperkenalkan selepas mendapat maklum balas daripada pelanggan. Menerusi ciri baharu ini, pelanggan boleh melaksanakan transaksi kepada pihak ketiga yang tidak tersenarai dalam senarai 'Kegemaran' (Favourite).

"Maybank juga komited dalam memperkenalkan lebih banyak keupayaan menerusi aplikasi ini seperti keupayaan pengecaman wajah. Kami juga akan memperkenalkan produk baharu ini ke pasaran utama kami di luar negara secara berperingkat untuk membolehkan semua pelanggan mengalami pengalaman perbankan yang seragam," katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat, berkata bahawa aplikasi baharu itu sebahagian daripada penambah baik Maybank kepada pelanggannya.

Lim berkata, ia diperkenalkan selepas mendapat banyak maklum balas daripada pelanggan yang mahu menikmati dan mengalami sendiri pengalaman paparan yang mudah, cepat dan mesra pengguna.

Katanya, ia dibina atas tiga teras prinsip iaitu mudah, selesa dan fokus kepada keperluan pelanggan.

"Hari ini, setiap orang memperkatakan mengenai pendigitalan dan industri ini telah menyaksikan lonjakan dalam pendekatan pelanggan berinteraksi dengan bank.

"Maybank juga merekodkan pertumbuhan 34 peratus dari segi bilangan pengguna aktif dalam talian pada 2016 berbanding 2015, manakala bilangan pengguna mudah alih yang aktif meningkat hampir 42 peratus dalam tempoh yang sama.

"Jumlah transaksi dalam talian yang dikendalikan berjumlah hampir 3 bilion pada 2016, dengan hampir 500 juta dilaksanakan secara mudah alih," katanya.

Pelancaran aplikasi baharu Maybank2u pada pertengahan Mac lalu telah mendapat sambutan baik dan sehingga kini, lebih 57,000 muat turun direkodkan dan 82 peratus daripada pelanggan memberi penarafan sebagai aplikasi cemerlang.

19 dibaca
Berita Harian X