Isnin, 3 April 2017 | 10:53am

Jenazah Ketua Polis Kelantan selamat dikebumi


ALLAHYARHAM Datuk Dr Ab Rahman Ismail. - Foto Faris Zainuldin

BACHOK: Jenazah Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badak, di sini.

Kira-kira 1,000 orang daripada anggota polis, keluarga dan kenalan mengiringi jenazah untuk dikebumikan pada jam 9.20 pagi tadi.

Allahyarham Ab Rahman, 59, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada jam 3.45 petang semalam akibat komplikasi kesihatan termasuk jantung.

Isteri arwah, Datin Che Nat Hassan, berkata suaminya dimasukkan ke IJN pada Jumaat lalu selepas mengadu sesak nafas.

Katanya, ketika mendapatkan rawatan itu, arwah sempat meminta untuk pulang ke kediaman mereka di Jelawat, Bachok.

"Pada Jumaat arwah nampak stabil tapi pagi esoknya, dia kembali lemah dan menghembuskan nafas terakhir di sisi saya dan anak-anak," katanya ketika ditemui di majlis pengebumian arwah di Kampung Badak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, memberi penghormatan terakhir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid An Naim Jelawat dan Masjid Kampung Badak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badak.

Ab Rahman memegang jawatan Ketua Polis Kelantan sejak 18 Julai tahun lalu.

Sepanjang perkhidmatan beliau banyak pendekatan diambil termasuk tampil di pentas mimbar masjid bagi menyampaikan khutbah Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak.

Berita Harian X