Ahad, 2 April 2017 | 3:34pm

RM1.2 juta baiki rumah nelayan Muara Tebas


DATUK Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bergambar bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Muara Tebas.

KUCHING: Kerajaan memperuntukkan RM1.2 juta bagi membaiki 102 rumah nelayan di Kampung Muara Tebas, di sini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara, yang bertanggungjawab untuk melaksanakan kerja membaik pulih rumah terbabit.

"Ini antara peruntukan disediakan kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf hidup nelayan di negara ini.

"Setiap Parlimen menerima peruntukan sehingga RM8 juta untuk melaksanakan kerja membaik pulih nelayan itu," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat Kampung Muara Tebas, hari ini.

Wan Junaidi, yang juga Ahli Parlimen Santubong, berkata beberapa PNK dalam kawasannya turut memerlukan bantuan sama dan ia akan disalurkan tidak lama lagi.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM360,000 untuk melaksanakan projek kecil di Kampung Muara Tebas.

"Ia meliputi keperluan untuk menaik taraf sistem perparitan serta pembinaan titi kayu di kampung itu," katanya.

Selain itu, katanya, beliau akan mempertimbangkan permohonan pendudukan Kampung Muara Tebas Baru untuk membina benteng tebingan sungai bagi mengelak hakisan di kampung berkenaan.

Berita Harian X