Ahad, 2 April 2017 | 2:24pm

Institusi keluarga kukuh, benteng pengaruh negatif


NAIB Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran yang sesuai menghadapi perubahan dalam institusi keluarga serta cabaran baharu seperti fidofilia dan pornografi membabitkan kanak-kanak.

Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata institusi keluarga yang kukuh, stabil dan bahagia tidak akan mudah terpengaruh dengan gejala sosial akibat pertumbuhan ekonomi negara yang pesat.

"Pembangunan dan usaha memperkasakan keluarga adalah penting supaya anak-anak dapat dibentuk menjadi insan yang positif dan berguna.

"Jika isu sosial dan moral tidak ditangani dengan berkesan, kita akan berhadapan dengan masalah yang serius yang akan menjejas hasrat kita untuk menjadi negara maju, " katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, institusi keluarga mempunyai potensi dan kuasa yang lebih berkesan untuk memerangi penyakit sosial jika dibandingkan dengan keupayaan semua agensi penguat kuasa.

"Walaupun kita memerlukan hukuman berat dan penguatkuasaan seperti yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, kekuatan institusi keluarga berupaya mencegah masalah sosial daripada menyelinap masuk ke dalam setiap rumah dan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, penerapan kemahiran keibubapaan perlu dijadikan sebahagian usaha memperkasakan keluarga untuk menangani gejala sosial, supaya mereka lebih berminat dan mahu terbabit dalam perkembangan anak-anak mereka.

"Sikap dan nilai yang dipegang akan menjadi asas pembentukan keluarga yang kukuh, stabil dan bahagia. Nilai positif perlu dipupuk di kalangan ahli keluarga supaya anak-anak dapat membesar dengan sikap dan jati diri yang baik," katanya.

Katanya, sebagai institusi yang dihormati dalam masyarakat, institusi keluarga perlu dibangunkan dan diperkukuhkan untuk menghadapi pelbagai cabaran.

14 dibaca
Berita Harian X