Ahad, 2 April 2017 | 2:20pm

2 tahun percubaan sebelum miliki rumah PPR


MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kiri) dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tiga kanan) melihat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kamunting selepas melancarkannya di Taman Tasik Kamunting, Taiping. - Foto Abdullah

TAIPING: Kerajaan memberi masa dua tahun sebagai tempoh percubaan kepada pembeli rumah menerusi skim sewa beli sebagai syarat baharu sebelum kediaman berkenaan menjadi hak milik mereka sepenuhnya.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata kebanyakan penghuni yang menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) menghadapi kesulitan membayar rumah sewa meskipun harga sewa serendah RM180.

Justeru, katanya, syarat baharu yang diperkenalkan itu bagi membolehkan pembeli menerusi skim terbabit menjaga rumah berkenaan dengan lebih baik.

"Kita tidak boleh bagi terus sebaliknya bagi mereka tempoh percubaan untuk mereka menyewa dahulu rumah berkenaan.

"Dalam tempoh dua tahun, jika mereka memenuhi syarat dan perjanjian, kita tukarkan sewa bulanan yang dibayar (dalam tempoh dua tahun) kepada pembayaran skim terbabit.

"Jika dalam tempoh dua tahun pun mereka tidak mampu bayar sewa bulanan, belum tentu dalam tempoh 20 tahun mereka akan menjaga rumah terbabit dengan baik," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Landskap Negara 2017 peringkat kebangsaan di Taman Tasik Kamunting, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, kementerian itu berhasrat untuk menubuhkan Rakan Taman di setiap taman perumahan di seluruh negara bagi bertanggungjawab membantu penyelenggaraan kediaman mereka.

"Setakat ini, sebanyak 288 rakan taman yang ditubuhkan dan kita berhasrat untuk tubuhkan di setiap taman perumahan untuk mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjaga kawasan masing-masing.

"Menerusi Rakan Taman ini, mereka boleh digerakkan supaya bertanggungjawab dalam penyelenggaraan serta memastikan tidak ada vandalisme berlaku di taman perumahan terbabit," katanya.

55 dibaca
Berita Harian X