Ahad, 2 April 2017 | 2:02pm

Pelajar saman pembuli RM2 juta


AHMAD Fauzi Abdullah dan isteri, Rusaila Abdullah memfailkan saman RM2 juta terhadap sembilan pihak termasuk lima pembuli di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar yang menjadi mangsa buli memfailkan saman RM2 juta terhadap sembilan pihak termasuk lima pembuli di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tuntutan pelajar berusia 16 tahun itu dibuat menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 46, berkaitan kejadian buli dialaminya ketika bersekolah di Wakaf Tembesu pada 26 April 2015 hingga menyebabkannya mengalami kecederaan dan tekanan perasaan.

Selain tuntutan terhadap lima pembuli yang juga bekas pelajar senior, remaja terbabit turut menamakan penolong kanan hal ehwal murid; bekas pengetua serta dua yang lain.

Ahmad Fauzi berkata, tuntutan itu dibuat untuk menyedarkan pihak yang bertanggungjawab dan masyarakat budaya buli adalah berbahaya jika tidak dibendung.

"Akibat daripada kejadian buli itu, anak saya tidak dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini kerana kecederaan dialaminya malah sehingga hari ini dia masih trauma dengan insiden berkenaan.

"Justeru, tindakan ini adalah untuk menyedarkan pihak yang bertanggungjawab dan masyarakat akan bahana buli ini. Kami juga berharap kes ini dapat menjadi pengajaran kepada semua, " katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pernyataan tuntutan yang dibuat menerusi Tetuan Wan Azleana Wan Adnan and Associates, pelajar terbabit dibuli dan dipukul selama lebih tiga jam oleh pelaku di bilik asrama ketua pengawas.

Antara kecederaan dialami, kesan koyak di selaput telinga kanan, kehilangan pendengaran (jenis konduktif), trauma, tekanan perasaan dan beberapa lagi kecederaan lain.

12 dibaca
Berita Harian X