Ahad, 2 April 2017 | 11:20am

Kanak-kanak kanser mata meninggal dunia


JENAZAH Aminah diuruskan bapanya, Mohamad Amin Ahmad untuk dimandikan di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Tengah, Tumpat. - Foto Siti Rohana Idris

TUMPAT: Kanak-kanak penghidap kanser mata, Aminah Mohamad Amin, 5, meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini.

Aminah menghembuskan nafas terakhir selepas 17 hari tidak sedarkan diri dan bertarung nyawa di sisi ibunya, Norima Mohd Nuzi, 37 dan bapanya Mohamad Amin Ahmad, 37.

Kanak-kanak itu dimasukkan ke HUSM pada 5 Mac lalu dan menjalani dua pembedahan membuang cecair di bahagian kepala kerana dipercayai sel kanser sudah merebak ke bahagian terbabit.

Norima berkata, anak ketiga dari empat beradik itu bergantung pada mesin bantuan pernafasan dan bacaannya menurun pada jam 10 pagi semalam.

"Keadaan itu berterusan sehingga awal pagi tadi. Doktor ada bertanyakan saya sama ada ingin melakukan rawatan awal pemulihan kardiopulmonari (CPR), saya menolak kerana tidak ingin menyakiti dia.

"Kami reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Pekan Tengah, di sini, hari ini.

Kanak-kanak itu menghidap kanser mata sejak berusia enam bulan, yang menyebabkan kedua-dua matanya buta.

Aminah menjalani pembedahan membuang mata kiri pada 2014, manakala mata kanannya mengecut akibat rawatan kemoterapi dan turut dibuang tahun lalu.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Padang Pohon Tanjung, di sini.

Pada April tahun lalu, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP menghulurkan sumbangan kepada Aminah bagi meringankan beban keluarganya.

Berita Harian X