Sabtu, 1 April 2017 | 11:14pm

Pemuda PAS Kedah mahu 'tahaluf siyasi' bersama PKR dikaji


MUHAMMAD Khalil Abdul Hadi (kiri) diiringi Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Mohd Azam Abd Samat (dua dari kiri) beramah mesra bersama perwakilan yang hadir pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah kali ke-51 di Markas PAS Kawasan Jerai, Batu 15 Padang Lumat. - Foto Sharul Hafiz Zam

YAN: Dewan Pemuda PAS (DPP) Kedah mendesak supaya hubungan politik atau 'tahaluf siyasi' parti itu bersama PKR dikaji semula.

Timbalan Ketua DPP Kedah, Nurul Amin Hamid, berkata keputusan sebulat suara itu dicapai perwakilan melalui Muktamar DPP Kedah Ke-51 yang berlangsung di Markas PAS Jerai, di sini, hari ini.

Beliau yang dihubungi bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu yang dikatakan diluluskan melalui usul politik, selepas mengambil kira sikap PKR yang cenderung memperlekehkan PAS kebelakangan ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua DPP Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, ketika merasmikan muktamar berkenaan menegaskan pihaknya sedia untuk menerima sebarang ketetapan dibuat Majlis Syura PAS berhubung isu tahaluf siyasi bersama PKR, termasuk kemungkinan bergerak secara sendirian sekiranya kerjasama politik itu ditamatkan.

Sementara itu, muktamar yang berlangsung turut menyaksikan perubahan pada teraju pentadbiran DPP Kedah apabila Salim Mahmood dilantik sebagai ketua yang baharu menggantikan Mohd Azam Abd Samat yang tidak bertanding.

Selain itu, jawatan Timbalan Ketua DPP Kedah disandang Nurul Amin, manakala Nasrun Othman dilantik sebagai Naib Ketua DPP Kedah.

Berita Harian X