Sabtu, 1 April 2017 | 6:22pm

MU, UiTM berentap di Stadium Hang Jebat malam ini

MELAKA: Pasukan Liga Super Melaka United (MU) bakal berdepan pasukan UiTM FC pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam ini.

Perlawanan persahabatan kedua ini selepas Geylang FC di Singapura minggu lalu, adalah antara persediaan pasukan bimbingan jurulatih Eric Williams berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi liga di Larkin, Johor Bahru pada 9 April ini.

Penolong jurulatih MU,  Norizam Ali Hassan berkata, beliau mengharapkan  pemain mampu memperaga persembahan terbaik dan dalam masa sama membina keserasian jitu untuk mengharungi baki tiga perlawanan pusingan pertama termasuk bertemu FELDA United dan PKNS FC.

Katanya, skuad Hang Tuah kini kian menampakkan peningkatan menerusi sesi latihan berterusan selain aksi persahabatan di Singapura yang berkesudahan menang 3-2 serta kembalinya empat pemain import dari belenggu kecederaan.

"Selepas persembahan pasukan dilihat kurang menjadi apabila hanya meraih dua kemenangan dan seri selain empat kekalahan, saya yakin pemain akan bangkit untuk memberikan sentuhan lebih berkualiti dalam baki tiga aksi selepas ini.

"Apapun khidmat pemain tengah Jeon Woo Young (Korea Selatan) mungkin tidak dapat diturunkan malam ini berikutan demam. Namun kami mengharapkan dia mampu diturunkan untuk menyumbang sentuhan lebih bertenaga di barisan tengah.

"Perencanaan Williams jelas mudah difahami pemain dan saya juga amat mengharapkan mereka mampu untuk bertindak lebih cemerlang bertemu UiTM walaupun iaa sekadar aksi persahabatan," katanya.

Norizam berkata, apa yang pasti pelawat juga sebuah pasukan yang baik dengan keupayaannya yang kian terserlah di Liga Perdana.

Justeru, dia mahu pemain tidak memandang mudah cabaran lawan itu dalam usaha memantapkan pasukan.

Norizam berharap penyokong MU akan hadir memberi sokongan pada perlawanan dijadual bermula jam 8.45 malam itu.

Berita Harian X