Sabtu, 1 April 2017 | 6:14pm

Zaquan gembira 4 rakan kembali sertai Harimau Malaysia


ZAQUAN Adha membuat timbangan bola pada majlis Nivea my Padang bersama Zaquan Adha di Sunway Pyramid. - Foto Owee Ah Chun

PETALING JAYA: Penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak mengalu-alukan keputusan empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk kembali menabur bakti bersama skuad Harimau Malaysia.

Empat pemain terbabit adalah bekas kapten Harimau Malaysia, Safiq Rahim; pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan S Kunanlan serta pemain tengah, Amirul Hadi Zainal.

Penggempur The Bos Gaurus itu turut menyifatkan kepulangan mereka sebagai satu keputusan yang baik terutamanya dalam usaha menjayakan misi skuad kebangsaan menghuni ranking yang lebih baik.

"Sebagai pemain kebangsaan, saya melihat khidmat mereka masih diperlukan berdasarkan kriteria dan pengalaman yang dimiliki di pentas antarabangsa sebelum ini.

"Sudah pasti kepulangan mereka dapat membantu skuad kebangsaan terutamanya dengan prestasi mereka yang kini berada pada tahap terbaik ketika bersama kelab.

"Dengan persatuan yang berwajah baharu, saya pasti ini akan memberi suntikan semangat kepada pemain untuk menaikkan ranking negara dan memperagakan corak permainan lebih baik," katanya ketika ditemui pada sesi bertemu peminat pada kempen My Padang: Serlahkan Kehandalanmu, di Watsons, pusat beli belah Sunway Pyramid, di sini, semalam.

Zaquan hadir selaku duta produk Nivea Men. Dia meluangkan masa hampir dua jam dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz, cabaran menimbang bola dan sesi autografi.

Empat pemain terbabit adalah bekas kapten, Safiq Rahim, pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak dan S Kunanlan serta pemain tengah, Amirul Hadi Zainal.

BH Sukan sebelum ini melaporkan pengendali baharu skuad Harimau Malaysia, Mario Gomez sedia untuk memanggil semula empat tonggak terbabit yang sebelum ini mengumumkan persaraan secara mengejut Julai lalu.

Aidil yang juga pertahanan tengah JDT mengakui bersedia untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, namun keputusan untuk memanggilnya beraksi terletak di tangan bekas jurulatih pasukan Harimau Selatan itu.

15 dibaca
Berita Harian X