Sabtu, 1 April 2017 | 4:38pm

"Kami hanya minum air sungai"


EMPAT remaja ditemui selamat selepas sesat hampir 18 jam ketika mendaki Gunung Panti, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KOTA TINGGI: "Kami salah ikut lorong motosikal lasak kemudian terus sesat..dengan tak ada bekalan makanan," kata Muhammad Nazhan Azhar, 19.

Muhammad Nazhan adalah antara empat pelajar GiatMARA yang diselamatkan selepas sesat hampir 20 jam ketika mendaki Gunung Panti, dekat sini.

Muhammad Nazhan berkata, mereka memang bercadang mahu mendaki hingga ke puncak yang hanya memakan masa sejam dari tempat mereka meletak kenderaan iaitu berhampiran Air Terjun Kota Tinggi.

"Kawan beritahu hanya sejam mendaki, sebab itu kami bawa air sahaja..tak bawa makanan. Tetapi, kami tiba-tiba sesat hingga sampai ke tepi sungai.

"Kami mengikut arus sungai hingga sampai ke sebuah jambatan di laluan balak lama dan bermalam di situ secara bergilir-gilir.

"Kami hanya minum air sungai untuk hilangkan dahaga," katanya yang ditemui di pos kawalan sementara pasukan mencari dan menyelamat di kaki Gunung Panti, kira-kira 700 meter dari lokasi mereka ditemui.

Muhammad Nazhan berkata, mereka melakukan pendakian itu antara lain bagi menyiapkan tugasan pembelajaran dalam jurusan fotografi.

Muhammad Nazhan dan tiga rakannya, Muhammad Firdaus Zainal, Muhammad Fakhrul Nazmi Sulaiman serta Muhammad Zariqh Iedeed Mustafa, dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Panti pada jam 6 petang semalam.

Semua penuntut jurusan fotografi dan rekaan fesyen GiatMARA Pasir Gudang itu bejaya ditemui jam 11.55 pagi tadi, 18 jam selepas dilaporkan hilang.

Berita Harian X