Jumaat, 31 March 2017 | 7:20pm

Penyanyi L'Zzay berhijab sejak Januari


L'Zzay memilih untuk bertudung sejak Januari lalu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi L'Zzay yang popular menerusi lagu Joget Selfie Raya bersama Noraniza Idris kini memilih untuk bertudung sejak Januari lalu.

L'Zzay atau nama sebenarnya Ammalina Affandi, 31, berkata niat untuk berhijab sudah lama tersimpan, namun hanya menunggu masa yang sesuai untuk melunaskannya.

"Apabila lagu Joget Selfie Raya mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan pada pertengahan tahun lalu, saya mula terfikir untuk berubah. Saya cuba menukar imej secara perlahan-lahan dan hanya berhijab selepas adik mendirikan rumah tangga pada Januari lalu.

"Ramai yang terkejut dengan perubahan ini, sampaikan ada yang menganggap saya nak berkahwin. Apapun, ibu saya antara orang yang paling gembira melihat perubahan ini," katanya kepada BH Online.

Ekoran penghijrahan itu, L'Zzay berkata, beliau harus memperlahankan kerjaya seninya bagi mencari genre muzik dan imej yang sesuai untuk ditampilkan kepada umum.

Kata L'Zzay, walaupun namanya hanya mula meningkat naik selepas populariti lagu Joget Selfie Raya dan Mohon Terasa, beliau akur dan yakin, rezekinya di bidang seni pasti ada sekiranya diizinkan Tuhan.

"Saya tahu, nama saya memang agak lambat untuk dikenali di arena seni. Dan kini, selepas lagu itu popular, saya pula memutuskan mahu memperlahankan kerjaya. Namun, semua itu terpulang kepada rezeki.

"Sebelum ini, muzik saya lebih ke arah pop R&B, jadi takkan sekarang saya hendak kekal dengan muzik sebegitu? Saya perlu fikir sedalam-dalamnya mengenai arah tuju saja dalam bidang muzik dan apa yang patut saya buat selepas ini?" tegasnya.

Kata L'Zzay, walaupun berehat seketika di bidang nyanyian, beliau masih aktif dengan kerja di belakang tabir, seperti menguruskan syarikat produksi muzik sendiri selain mencipta lagu untuk penyanyi baharu.

Berita Harian X