Jumaat, 31 March 2017 | 4:38pm

Murid hilang selepas mandi sungai


KETUA Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abdul Aziz. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

PASIR GUDANG: Seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Cahaya Baru dipercayai lemas selepas hilang ketika mandi bersama rakannya di Sungai Serai, Kampung Sentosa, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Muhammad Faiz Surimin, 12, dipercayai hilang selepas mandi bersama dua lagi rakannya di sungai berkenaan yang terletak kira-kira 70 meter daripada rumahnya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abdul Aziz, berkata pihaknya mengesahkan kejadian itu membabitkan seorang remaja lelaki dipercayai lemas ketika mandi bersama dua rakan selepas pulang dari sekolah."

Ketika itu cuaca tidak hujan dan mangsa bersama rakan mandi di gigi air, namun mangsa pergi ke tengah sungai yang aliran air deras dan dalam. Mangsa cuba dihalang oleh dua rakannya tetapi tidak sempat dan mangsa terus dihanyutkan arus yang deras.


BAPA mangsa, Surimin Suparman, 55, menunjukkan tempat beliau menemui kasut dan baju anaknya, Muhammad Faiz, 12, di Sungai Serai, Kampung Sentosa di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang yang dipercayai lemas selepas hilang ketika mandi di sungai itu.

"Rakan mangsa mengejar mangsa dari atas tebing tetapi tidak berjaya hingga mangsa tenggelam sebelum rakan mangsa pulang pada jam 6.45 petang dan memberitahu kejadian itu kepada keluarga mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jokhiri berkata, ibu mangsa kemudian datang ke balai untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam sudah menubuhkan dan mengaktifkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) yang dianggotai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung untuk mengesan mangsa di sekitar kawasan kejadian serta menyelusuri sungai itu.

"Gerakan mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan setakat ini mangsa masih belum dijumpai," katanya.

Berita Harian X