Jumaat, 31 March 2017 | 4:07pm

Ponteng punca kegagalan pelajar Malaysia


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pelajar Perlis di Timur Tengah 2017 selepas Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pelajar Perlis di Timur Tengah 2017 di Kolej Matrikulasi Arau, Perlis. - Foto Azhar Ramli

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syued Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini melahirkan kebimbangan dengan status pelajar Malaysia di luar negara yang terkandas dalam pengajian berikutan gejala ponteng.

Justeru, baginda menggesa ibu bapa supaya memainkan peranan memantau pergerakan anak masing-masing supaya tidak terkandas dalam pelajaran.

"Berdasarkan maklum balas daripada kedutaan, kebanyakan kes kegagalan pelajar adalah kerana tidak menghadiri kelas.

"Ibu bapa perlu pastikan mereka sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan segala bentuk kemahiran serta pulang menabur bakti di tanah air kelak," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika majlis penyampaian bantuan dermasiswa Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) kepada 12 pelajar Perlis, yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir.


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama penerima bantuan ketika Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pelajar Perlis di Timur Tengah 2017 di Kolej Matrikulasi Arau, Perlis.

Pada majlis itu, semua pelajar terbabit menerima bantuan dermasiswa RM2,000 setiap seorang, selain turut diraikan bersama ibu bapa masing-masing.

Pada majlis itu, MAIPs mengumumkan peningkatan sumbangan pelajar di Jordan daripada RM6,000 setahun kepada RM11,000, merangkumi RM6,000 sumbangan dermasiswa tahunan dan sumbangan secara sekali gus RM5,000. 

Bagi pelajar di Mesir pula, jumlah sumbangan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000.

Langkah itu diambil berikutan peningkatan kos sara hidup dan yuran pengajian akibat kadar tukaran mata wang.

Berita Harian X