Jumaat, 31 March 2017 | 8:10am

Coupe Sport Ford paling berkuasa

DARIPADA segi luaran, tidak banyak beza antara Ford Mustang GT 5.0L dengan Mustang 2.3L EcoBoost, namun apabila diperkatakan mengenai enjin, pastinya ramai akan terpegun dengan kuasanya yang melepasi jangkaan sebagai coupe sport ikonik Ford.

Peluang memandu uji selama separuh hari Mustang GT 5.0L sememangnya tidak akan dilepaskan sesiapa saja termasuk BH Auto yang mengagumi kereta sport Ford yang menjadi watak utama dalam filem Hollywood, Need For Speed.

Dengan kuasa enjin 5.0L Ti-VCT V8, pastinya mampu menghamburkan kuasa yang sangat menakjubkan, terutama apabila menyusuri laluan lurus lebuh raya.

Berdasarkan kuasa 416PS pada 6,500rpm dan tork puncak 530Nm pada 4,250rpm yang diterapkan dalam Mustang GT, sudah tentu tiada masalah untuk memecut laju dalam keadaan statik, ditambah pula dengan deruman enjin dan sistem ekzos yang sungguh memukau sesiapa saja yang berselisih dengannya.

Memilih untuk menggunakan Lebuhraya Maju (MEX) dan Lebuhraya KLIA untuk ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), BH Auto sebenarnya mahu menguji kelajuan yang mampu dihamburkan jentera ikonik Ford ini.

MUSTANG GT 5.0L umpama raja di jalan raya. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sebagai permulaan ketika memandu uji jentera ini, penulis menggunakan prestasi dan stering pada mod Comfort dari pejabat Sime Darby Auto Connexion (Ford) di Petaling Jaya sehingga memasuki Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).

Dengan mod Comfort, penulis sudah merasai kuasanya. Dengan daya tujahan yang mengujakan, penulis pasti mod Sport dan Track pastikan memberikan hasil kuasa yang lebih mengagumkan.

Jarak kira-kira lima kilometer (km) di NPE, penulis beralih pula kepada mod Sport untuk merasai perbezaannya dan deruman enjin dan ekzos berubah secara mendadak dnegan menghasilkan bunyi lebih garang.

Ketika memasuki MEX, penulis beralih pula kepada mod Track dan mod stering Sport untuk menikmati kuasa yang dipertontonkan dalam filem Need For Speed.

Apa yang boleh diperkatakan penulis perjalanan dari permulaan MEX hingga Lingkaran Putrajaya-Cyberjaya pada jarak kira-kira 25km cukup mempersonakan.

Ternyata enjin yang digunakan cukup berkuasa berbanding Mustang 2.3L EcoBoost apabila pecutan sehingga 180 kilometer sejam (km/j) mudah dicapai dan kuasa tujahannya cukup sempurna.

DIJANA enjin 5.0L Ti-VCT V8. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Meskipun Mustang GT 5.0L berada pada kelajuan 230 km/j ketika berada di MEX, ia lancar dan langsung tidak bergoyang apabila membelah angin sehinggakan penulis tidak sedar sudah mencapai kelajuan sedemikian.

Pada kelajuan itu juga, penulis dapat merasakan deruman enjin dan ekzos sehingga membuatkan banyak kenderaan di laluan kanan memberi laluan kepada Mustang GT 5.0L.

Ujian kuasa enjin sudah dilakukan, kini penulis mahu mencuba pula keupayaan jentera ini apabila mengambil selekoh. Ketika melepasi laluan keluar ke Cyberjaya/KLIA selepas Plaza Tol Putrajaya, ia adalah lokasi terbaik untuk menikmati selekoh.

Dengan kelajuan lebih 100 km/j, Mustang GT 5.0 ini langsung tidak 'membuang' dan penulis dapat menikmati selekoh dengan sempurna, selesa dan meyakinkan, meskipun permukaan jalan yang agak tidak rata.

Selepas keluar dari Lebuhraya KLIA ke Lebuhraya ELITE, keterujaan penulis sedikit terbantut apabila trafik di laluan terbabit agak sesak disebabkan kerja penyelenggaraan laluan kanan.

Ketika itu, penulis beralih kepada mod Comfort. Dengan keadaan trafik sedemikian, ia tidak menjadi masalah kepada penulis kerana ada spesifikasi lain yang boleh dicuba.

PANEL meter. - Foto Mohd Yusni Ariffin

RUANG kargo. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Penggunaan sistem brek BREMBO yang 'disaluti' dengan rim aluminium 19 inci, cengkaman yang ditawarkan sangat baik dalam keadaan mengejut ataupun membrek ketika pada kelajuan tinggi.

Pelarasan stering juga sangat selesa dan penulis tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengendalikan jentera bernilai RM615,579.54 berwarna Magnetic Metallic (kelabu).

Selepas puas menguji kuasa Mustang GT 5.0L, penulis ingin pula memperjelaskan mengenai rekaan luaran dan dalaman model sport berkuasa ini.

Meskipun, jarang sekali kita dapat melihat Ford Mustang di jalan raya berbanding Ferrari, sekali saja pandang apatah lagi memandu ujinya, pasti membuatkan ramai jatuh hati.

Rekaan luarannya amat unik dan sungguh ikonik itu sudah cukup untuk menutup mulut pengkritik hasil penampilan dinamik yang cukup sempurna pada pandangan mata.

BAHAGIAN belakang yang menawan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Bahagian depan tampil dengan logo kuda dengan gril hitam, manakala rekaan lampu yang agak 'sepet' menyerlahkan gaya rangginya.

Bahagian belakang pula, masih menggunakan logo GT berbeza dengan 2.3L EcoBoost (logo kuda) dengan rekaan tiga bar lampu pada bahagian kiri dan kanan yang mencipta kelainan berbanding model kereta sport lain.

Memasuki ruang kabin, kombinasi bumbung dan tempat duduk berwarna hitam serta rekaan papan pemuka dengan kombinasi warna kelabu lembut dan hitam membuatkan ia sporty, mewah dan elegan.

Lambang kuda pada bahagian stering dan tag 'Mustang Since 1964' menggambarkan sejauh mana ikoniknya kereta ini.

Kesimpulannya, walaupun hanya memandu uji separuh hari, Ford Mustang GT 5.0L memberikan kepuasan kepada penulis dek kerana kuasa dan gaya rekaannya.

REKAAN yang menarik. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Info:
Ford Mustang GT 5.0L

  • Harga atas jalan termasuk insurans RM615,579.54
  • Enjin 5.0L Ti-VCT V8
  • 416PS @ 6,500rpm
  • Tork puncak 530Nm @ 4,250rpm
  • 6-kelajuan SelectShift Automatik
  • Rim Aluminium 19 inci
  • Dwi corong ekzos
  • Suspensi belakang bebas dengan Integral Link
  • Lampu depan HID automatik dan lampu belakang LED
  • Bantuan stering kuasa dengan mod pilihan
  • Mod pemanduan Comfort, Sport, Track dan Snow
  • Skrin sesentuh 8 inci dengan 9 pembesar suara
  • Kawalan suhu dwi zon automatik
  • Tempat duduk kulit
  • Tawaran warna: Race Red, Oxford White, Black, Magnetic Metallic dan Deep Impact Blue
Berita Harian X