Jumaat, 31 March 2017 | 7:00am

Fiesta Muslimah BH kembangkan perniagaan


Norman Hakim (kanan) dan Memey Suhaiza (kiri). - Foto Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) menjadi platform terbaik kepada usahawan dalam talian untuk mengukuhkan lagi label atau jenama fesyen mereka sebelum beralih ke perniagaan butik.

Pelakon Norman Hakim, berkata sepanjang dua kali pengalamannya menyertai acara anjuran BH berkenaan beliau menyifatkan fiesta seperti itu membantu meningkatkan jualan sekali gus mengembangkan perniagaan pakaian yang dijalankan bersama isterinya, Memey Suhaiza.

Katanya, penganjuran kali pertama FMBH 2014, membuka ruang mereka memperkenalkan jenama fesyen busana Muslimah, Meylana dengan lebih luas, walaupun pada waktu itu mereka hanya menjalankan perniagaan secara dalam talian menerusi media sosial.

"Penyertaan kami membantu mengembangkan perniagaan menerusi hubungan rangkaian dengan semua pihak termasuk pembeli peribadi, stokis dan pelanggan yang terbabit ketika kali pertama FMBH dianjurkan.

"Hasilnya tahun kedua apabila menyertai FMBH 2015 kami sudah berupaya mengembangkan lagi perniagaan dan memiliki butik," katanya yang dihubungi BH, semalam.

Norman mengulas penyertaannya FMBH yang kini memasuki tahun ketiga. Tahun ini ia diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula 2 hingga 4 Jun depan.

Dekatkan peniaga dan pembeli

Berkongsi pengalamannya dalam dua FMBH sebelum ini, beliau menyifatkan acara seperti itu berupaya menjadi perantara atau penghubung untuk mendekatkan peniaga dengan pembeli.

"Penyertaan kami turut meningkatkan jumlah pengikut kami di media sosial iaitu bermula dengan hanya lima angka meningkat kepada enam angka.

"Begitu juga dengan angka jualan yang menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan selepas penyertaan kedua acara berkenaan," katanya.

Mengenai pembabitan golongan artis sepertinya dalam penganjuran FMBH'17, Norman berkata, penyertaan mereka bukan sekadar untuk meraih keuntungan dalam berniaga tetapi lebih penting bertujuan merapatkan hubungan dengan peminat yang sentiasa menyokong karier dan perniagaan.

"Ketika acara seperti inilah kami menghargai pembeli dan peminat dengan menawarkan bukan saja harga yang cukup istimewa dan murah sehingga 70 peratus tetapi juga rekaan yang dikhususkan untuk acara yang diadakan," katanya.

Ketika FMBH 2015, butik Meylana menawarkan rekaan unik iaitu pakaian sedondon untuk lelaki dan wanita khususnya pasangan suami isteri yang dikenali sebagai 'Normey Couple Set'.

Info: Fiesta Muslimah BH 2017

  • Kali pertama 2014 dirasmikan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza

  • Kali kedua 2015 dirasmikan pelakon dan pengacara, Neelofa.

Berita Harian X