Jumaat, 31 March 2017 | 6:27am

Malaysia perlu manfaat pengalaman, kepakaran Perancis


NAJIB ketika menyambut Hollande sejurus tiba di Malaysia dalam lawatan rasmi Presiden Perancis itu ke Asia Tenggara. - Foto Mohd Fadli Hamzah

MALAYSIA sekali lagi menerima kunjungan pemimpin utama dunia dengan kehadiran Presiden Perancis, Francois Hollande yang dalam rangka lawatan rasmi beliau ke Asia Tenggara. Selepas lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, ke Malaysia penghujung Februari lalu yang disifatkan baginda sebagai 'sangat berjaya', kunjungan Hollande ke Malaysia sebulan selepas lawatan Raja Salman ini mencatat satu lagi sejarah cemerlang hubungan luar Malaysia di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Lawatan negara dua hari bermula pada Ahad lalu oleh Hollande dijangka mempereratkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Perancis yang sudah lama terjalin, terutama dalam bidang politik, ekonomi, teknologi dan ketenteraan. Ini kali kedua pemimpin tertinggi Perancis mengunjungi Malaysia selepas kali terakhir pada Julai 2003 ketika Jacques Chirac menjadi Presiden.

Sebagai rakan dagang Malaysia ke-4 terbesar di dalam Kesatuan Eropah (EU), Perancis sememangnya amat penting bagi Malaysia dari segi ekonomi dan dasar luar.

Dengan jumlah dagangan di antara Malaysia-Perancis meningkat sebanyak 6.3 peratus tahun lalu dan bernilai hampir RM15.3 bilion, jumlah ini dijangka akan terus bertambah pada tahun-tahun berikut kerana asas ekonomi kedua-dua negara yang kukuh, dengan permintaan industri masing-masing yang diramalkan tumbuh sekitar dua hingga tiga peratus.

Hubungan terjalin sejak 1957

Penulis berpendapat ramai yang tidak tahu latar belakang hubungan diplomatik di antara Malaysia-Perancis ini bukan baru, bahkan sudah terjalin sebaik sahaja Malaysia merdeka pada 1957.

Perancis antara negara terawal membuka kedutaannya di Kuala Lumpur tepat pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 sebelum Malaysia membalas dengan membuka kedutaan di Paris pada 1959. Secara asasnya, hubungan Malaysia-Perancis pada ketika itu hanya bersifat diplomatik semata-mata, tanpa sebarang percambahan dan limpahan kepada bidang lain.

Hubungan Malaysia-Perancis menjadi statik dan mendatar perkembangannya apabila Tunku Abdul Rahman tidak lagi menjadi Perdana Menteri pada 1970.

Ada beberapa faktor yang dilihat menyumbang kepada keadaan itu antaranya ialah fokus keutamaan Malaysia terhadap perkembangan politik serantau dan usaha Malaysia mempromosikan dasar 'Aman, Bebas dan Berkecuali' dalam menangani dan mengelak Malaysia daripada terjerumus ke kancah perang dingin dan konflik ideologi kuasa besar ketika itu.

Di pihak Perancis pula, perkembangan politik serantau Eropah menerusi usaha menjadikan Eropah sebagai satu 'kerajaan supranasional' (EU) yang diilhamkan oleh Perancis sendiri sedikit sebanyak menghilangkan fokus Paris terhadap hubungannya dengan Kuala Lumpur. Pada masa sama, perbezaan latar belakang, sosial, budaya dan bahasa (bahasa Perancis sangat asing ketika itu berbanding bahasa Inggeris) juga dikenal pasti sebagai punca sampingan.

Mungkin hubungan Malaysia dan Perancis kembali bersemarak semula ketika Malaysia di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Jacques Chirac memimpin Perancis.

Keakraban kedua-dua tokoh besar ini kembali menyemarakkan hubungan Malaysia-Perancis bukan sahaja dari sudut diplomatik, malah mula menular ke bidang lain. Sekitar 1990-an, syarikat Perancis kelihatan mendominasi ekonomi Malaysia, terutama di sektor cari gali minyak, perkilangan, pembinaan dan peruncitan.

Sudah tentu kita masih lagi ingat nama seperti Carrefour (pasar raya), Technip (cari gali minyak), Alcatel (telekomunikasi) dan Lafange (simen) sebagai antara yang terkenal dan sinonim dengan rakyat Malaysia waktu itu. Ketika itu, hubungan Malaysia-Perancis disifatkan sebagai 'akrab dan peribadi' oleh pemimpin dunia dek kerana keakraban persahabatan antara Dr Mahathir dan Presiden Chirac.

Tingkat jumlah dagangan

Apakah yang Malaysia diharapkan menerusi kunjungan Hollande pula kali ini? Dalam hal ini kita percaya bahawa kepemimpinan kerajaan di bawah Najib akan sepenuhnya memanfaatkan lawatan beliau dalam segenap aspek sejajar dengan kepentingan ekonomi dan dasar luar Malaysia untuk manfaat kepada rakyat dan negara.

Malaysia harus memanfaatkan peluang ini dengan meningkatkan jumlah dagangan Malaysia ke Perancis. Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Perancis tahun ini 2.1 peratus berbanding 1.1 peratus oleh majalah The Economist, Perancis dijangka menikmati pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil.

Pada masa sama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramal mencecah AS$2.7 trilion (RM11.92 trilion) tahun ini berbanding AS$2.6 trilion (RM11.48 trilion) sebelumnya, sekali gus mengukuhkan ekonomi Perancis dalam kalangan negara Eropah Barat ketika kelembapan ekonomi masih lagi membelenggu dunia.

Satu lagi aspek kerjasama yang harus dimanfaatkan Malaysia ialah kerjasama strategik pemindahan teknologi dan kepakaran terkini, baik dari sudut pertahanan dan komersial.

Dalam hal ini, kerjasama strategik sedia ada Malaysia dan Perancis mengenai teknologi harus dilanjutkan ke tahap lebih tinggi berbanding sedia ada. Malaysia perlu memastikan kerjasama sedia ada tidak lagi bersifat 'pelanggan' semata-mata.

Peningkatan jumlah kontrak pembinaan yang diterima Perancis dari Malaysia terutama dari aspek kelengkapan seperti pembelian pesawat komersial dan ketenteraan dari Airbus menerusi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia, kapal selam Scorpene dan torpedo Black Shark oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebagainya, perlu disertakan dengan perjanjian pemindahan teknologi.

Kerjasama sebegini lebih disifatkan sebagai strategik dan signifikan kepada Malaysia dan pada masa sama, mampu menggambarkan komitmen dan setiakawan Perancis yang tinggi kepada Malaysia.

Bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Perancis pada tahun ini, sudah tiba masanya hubungan ini diperluaskan agar ia sentiasa kekal relevan dan pada masa sama, sentiasa menguntungkan kedua-dua pihak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban

Berita Harian X