Jumaat, 31 March 2017 | 1:39am

Dapat dihubungi tetapi belum jumpa


KATIE Clubb, 19 (gambar atas) dan Nyamu Wanyolke, 20 masih belum ditemui namun sudah dapat dihubungi melalui telefon bimbit.- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dua warga asing yang sesat ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih, kelmarin masih belum ditemui namun sudah dapat dihubungi melalui telefon bimbit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Sani Harul, berkata mangsa pada mulanya dapat dihubungi melalui SMS petang tadi namun tidak dapat memberitahu lokasi secara tepat.

"Mereka memberitahu berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum salah seorang mangsa dapat dihubungi sekali lagi melalui perbualan telefon sekitar jam 6 petang tadi.

"Seramai 48 anggota daripada pelbagai agensi masih melakukan pencarian dan dibantu dengan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

"Kita sedang berusaha mengenal pasti lokasi sebenar mangsa," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Beliau berkata, operasi SAR siang tadi berjaya menemui pelbagai petunjuk dalam bentuk tulisan dipercayai ditinggalkan oleh mangsa di sekitar kawasan puncak Bukit Broga.

Kelmarin, dua pelajar antarabangsa warga Kenya, Nyamu Wanyolke, 20, dan warga Britain, Katie Clubb, 19, dilaporkan hilang ketika mendaki belakang Puncak 3 Bukit Broga.

Laporan kehilangan mereka diterima pada jam 7.50 malam dan usaha pencarian sejak malam kelmarin ditumpukan di puncak Bukit Tok Wan dan Puncak 18 di Gunung Tok Wan lebih kurang 5 km dari kaki Bukit Broga.

22 dibaca
Berita Harian X