Khamis, 1 Januari 2015 | 5:37pm

Rodgers yakin Gerrard kekal di Anfield


AKSI kapten Liverpool, Steven Gerrard ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Burnley. - Foto Reuters

LIVERPOOL: Liverpool meluahkan keyakinan Steven Gerrard akan menandatangani kontrak baharu di Anfield sekalipun tidak menghalang kaptennya itu membuat perbincangan bersama kelab lain.

Gerrard memasuki tempoh enam bulan terakhir dalam kontraknya bersama The Reds, hari ini dan pemain berusia 34 tahun itu dibenarkan berbincang mengenai penghijrahan pada jendela perpindahan musim panas depan.

Dua kelab Liga Bola Sepak Amerika (MLS), Toronto FC dan New York Red Bulls menunjukkan minat mendalam terhadap Gerrard yang turut dikaitkan dengan kelab Itali, Inter Milan.

"Saya fikir dia mendapat rasa hormat jika dia mendapat kebenaran (berbincang dengan kelab lain). Saya mempunyai hubungan dan komunikasi yang hebat dengan Steven," kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers.

"Dia pemain yang menakjubkan, pekerja yang baik kepada kelab ini dan ketika saya bekerja di sini, dia melaksanakan tugasnya dengan baik."

Bekas kapten England itu dijangka akan kembali diturunkan dalam kesebelasan utama Liverpool ketika menentang Leicester City, malam ini selepas direhatkan pada perlawanan menentang Swansea. - Agensi

Berita Harian X