Khamis, 30 March 2017 | 3:35pm

NACRA perkenal kategori anugerah baharu


PENGERUSI Jawatankuasa Penganjur NACRA, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) tahun ini akan menyaksikan kategori anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Laporan Bersepadu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NACRA, Ahmad Zahirudin Abdul Rahim berkata kategori baharu itu mencerminkan kepentingan Laporan Bersepadu yang telah dipromosikan oleh pihaknya sejak beberapa tahun lalu sebagai elemen penting dalam laporan korporat di peringkat global.

Katanya, tahun ini NACRA membuka penyertaan kepada semua organisasi senaraian awam dan bukan senaraian awam. Tarikh akhir pendaftaran dan penghantaran adalah pada 31 Mei ini.

"NACRA 2017 menampilkan tujuh kategori anugerah termasuklah Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan; Anugerah Kecemerlangan Industri bagi Syarikat Senaraian; Anugerah Laporan Bersepadu dan Anugerah Khas bagi Organisasi Bukan Senaraian.

"Selain itu, kami juga menggantikan Anugerah Laporan Tanggungjawab Sosial Korporat dengan anugerah baharu dikenali sebagai Anugerah Laporan Kelestarian," katanya pada majlis pelancaran anugerah berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Kehakiman NACRA 2017, Loh Lay Choon.

Dengan tema 'Towards Accountability & Excellence', NACRA 2017 memainkan peranan penting dalam menaikkan integriti pasaran modal.

Ditubuhkan pada tahun 1990, NACRA menyasar untuk mempromosikan tanggungjawab korporat yang lebih baik dan komunikasi yang lebih berkesan berhubung aspek kewangan dan maklumat lain oleh syarikat kepada pihak yang berkepentingan.

Tambahnya lagi, pihaknya turut mengharap penyertaan syarikat pada tahun ini semakin bertambah.

"Sebelum ini, kami menerima lebih 40 penyertaan setiap kali NACRA berlangsung dan kami jangka jumlah itu akan bertambah tahun ini," katanya.

Info:

*NACRA dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Bhd, Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA)

Berita Harian X