Khamis, 30 March 2017 | 1:59pm

Padah buka klinik gigi tanpa lesen, wanita didenda RM300,000


SURYA Wijaya Nasution 22, mengaku bersalah atas pertuduhan menyediakan satu klinik pergigian swasta tidak berdaftar di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Indonesia didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan perkhidmatan klinik pergigian tanpa lesen sejak tahun lalu.

Tertuduh, Surya Elvi Wijaya Nasution, 22, dari Medan membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Khalid Ab Karim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis bernombor 13, 39-03 Jalan Susur Larkin Perdana 1 di sini, pada kira-kira jam 1.30 tengah hari, 16 Mac lalu.

Tertuduh didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar bagi menjalankan amalan pergigian dengan menawarkan khidmat pemasangan pendakap gigi kepada seorang lelaki tanpa pendaftaran sah Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khariyah Samsudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh gagal membayar denda dan dipenjarakan tiga bulan bermula hari ini di Penjara Kluang, dekat sini.

Berita Harian X