Rabu, 29 March 2017 | 5:53pm

Jenazah Ahmad Shahibuddin selamat dikebumikan


JENAZAH Datuk Shahibuddin Mohd Nor yang meninggal dunia akibat sakit tua diusung ke Tanah Perkuburan Islam di Kampung Gong Badak, Bachok dari rumahnya di Kampung Lundang, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Shahibuddin Mohd Nor, 72, yang meninggal dunia pagi ini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Badak, Bachok, petang tadi.

Allahyarham yang juga Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) negeri, meninggal dunia di rumahnya di Lundang di sini pada jam 9.15 pagi tadi.

Menantunya, Hamdi Omar, 55, berkata Allahyarham yang menghidap komplikasi buah pinggang sejak lebih lima tahun lalu meninggalkan tujuh anak serta 21 cucu.

Katanya, keadaan Allahyarham mula bertambah buruk sejak awal tahun ini dan hanya mampu terbaring di katil.

"Kebelakangan ini, arwah sering berpesan supaya ahli keluarga sentiasa berbincang dalam menentukan perkara penting.

"Semestinya kami sekeluarga sedih namun reda dengan pemergiannya. Allahyarham orang yang baik dan suka menasihatkan kami dan rakan seperjuangannya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Ahmad Shahibuddin disembahyangkan di Masjid Kampung Badak sebelum dikebumikan.

Ahmad Shahibuddin, yang dilahirkan di Kampung Badak, pada 19 Disember 1945 pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Bachok pada 1980 dan memegang jawatan Exco Pertanian Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1986 sehingga 1990.

Berita Harian X