Rabu, 29 March 2017 | 12:45am

United ada laluan pintas ke Liga Juara Juara


Sir Alex Ferguson. - Foto AFP

MANCHESTER: Manchester United mempunyai alternatif lebih baik untuk beraksi di Liga Juara Juara musim depan melalui laluan di Liga Europa, berbanding merebut slot empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL), kata bekas pengurus, Sir Alex Ferguson.

Empat pasukan teratas EPL akan layak ke Liga Juara Juara tetapi United kini berada di kedudukan kelima liga, empat mata di belakang Liverpool namun mereka beraksi kurang dua perlawanan.

Bagaimanapun, United akan mendapat jaminan ke Liga Juara Juara jika menjuarai Liga Europa musim ini. Kini, mereka berada dalam kelompok lapan terbaik di saingan Eropah berkenaan.

"Mereka masih bersaing (Liga Europa) dan bagi saya, mereka memiliki peluang cukup bagus," kata Ferguson yang meraih lebih 30 trofi kejuaraan sepanjang 26 tahun di Old Trafford kepada saluran radio Amerika Syarikat, SiriusXM.

"Saingan di peringkat EPL pada ketika ini sangat kompetitif untuk merebut kedudukan...ia tidak akan menjadi mudah untuk berada di kelompok empat teratas.

"Mereka boleh melakukannya. Tetapi saya melihat Liga Europa menyediakan peluang lebih baik," katanya.

United yang tidak pernah menang gelaran Liga Europa akan berkunjung ke laman Anderlecht untuk aksi pusingan pertama peringkat suku akhir pada 13 April ini.

Sejak Ferguson bersara pada 2013, United hanya meraih dua gelaran utama - Piala FA musim lalu dan Piala Liga pada Februari 2017.

Mereka tidak layak beraksi di Liga Juara Juara musim ini, dan jika sekali lagi gagal layak, mereka bakal kehilangan banyak faedah penajaan serta keuntungan komersial.

Kini, Ferguson boleh mengharapkan pengurus baharu United, Jose Mourinho untuk memastikan perkara itu menjadi kenyataan.

"Saya rasa Jose melakukan tugasnya dengan begitu baik," kata Ferguson.

"Dia sedikit tidak bernasib baik kerana walaupun beraksi cemerlang di laman sendiri... (tetapi) seri sebahagian daripadanya (tujuh kali). Jika mereka menang, tentunya mereka mampu mencabar gelaran liga. Itu tidak boleh dipersoalkan," - Reuters

Berita Harian X