Selasa, 28 March 2017 | 11:34pm

Terima kasih Hollande - Najib


KENYATAAN yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak mengucapkan terima kasih kepada Presiden Perancis, Francois Hollande kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang Cukai Minyak Sawit Malaysia.

Perdana Menteri berkata beliau mengambil kesempatan dalam pertemuan hari ini, untuk berkongsi dengan Hollande kepentingan industri minyak sawit di negara ini apabila kira-kira 600,000 orang bergantung sumber pendapatan kepada bidang itu.

"Saya yakinkan Presiden (Hollande) bahawa industri minyak sawit di Malaysia dibangunkan secara mapan dan mesra alam.

"Saya menjelaskan bahawa kita juga sedang membangunkan standard kita sendiri dalam industri minyak sawit untuk diterima di Kesatuan Eropah, bukan hanya Perancis," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik pada laman Facebook rasminya, malam ini.

Najib berkata, beliau yakin lawatan Hollande pada masa tepat ketika hubungan diplomatik Malaysia-Perancis terjalin hampir 60 tahun, akan menyambut hubungan dua hala lebih kukuh antara kedua-dua negara.

Tahun lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengatakan bahawa Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit utama, akan berusaha meyakinkan Perancis supaya tidak menaikkan duti ke atas minyak sawit Malaysia yang ketika ini dikenakan cukai import 21 peratus.

Terdahulu, Perancis bercadang mengenakan cukai import ke atas minyak sawit dari negara ekonomi membangun, di bawah rang undang-undang biodiversiti.

Ketika Perhimpunan Kebangsaan Perancis, ahli parlimen parti Sosialis mencadangkan cukai baharu iaitu 90 euro bagi setiap tan minyak sawit dan ia telah diluluskan setelah mendapat undi tertinggi.

Sebelum itu, pada Januari, senat Perancis mencadangkan supaya kerajaan itu mengenakan cukai 300 euro bagi setiap tan minyak sawit.

Berita Harian X