Selasa, 28 March 2017 | 8:27pm

Lebih 30,000 dijangka meriahkan Hari Landskap Negara


TINJAUAN persiapan program Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2017 di Taman Tasik Kamunting, Taiping. - Foto Yahya Awang

TAIPING: Lebih 30,000 dijangka berkunjung ke program Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2017 di Taman Tasik Kamunting, dekat sini, selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff, berkata MPT berbangga kerana diberi penghormatan dan kepercayaan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri sebagai tuan rumah menjayakan program itu kali ini.

Beliau berkata, kini pihak MPT giat membuat persediaan tapak, kelengkapan khemah pameran, pentas dan pelbagai kemudahan lain.

Katanya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar akan menyempurnakan majlis pelancaran sambutan itu pada Ahad ini.

"Pelbagai acara disusun sepanjang tiga hari sambutan itu termasuk pameran oleh jabatan dan agensi khususnya di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sendiri dan PBT (pihak berkuasa tempatan)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas acara cabutan bertuah pembayar cukai taksiran penuh setahun membabitkan 36,000 pemilik premis dalam kawasan tadbiran MPT dan Mesyuarat Penuh Ahli Majlis di Wisma MPT di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, beberapa PBT lain yang turut mengambil bahagian termasuk Majlis Daerah Bera, Majlis Perbandaran Kulim, Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Pertanian Perak.

Beliau berkata, pemilihan Taman Tasik Kamunting berkeluasan 12.75 hektar bagi lokasi program itu juga bagi mempromosikan kawasan itu kerana terletak di laluan strategik selain mempunyai kemudahan dan kawasannya luas bagi menampung pelbagai aktiviti yang disusun.

"MPT mahu mengetengahkan Taman Tasik Kamunting sebagai lokasi pilihan untuk mengadakan acara keramaian selain di Taman Tasik Taiping dan Dataran Warisan," katanya.

Berita Harian X