Selasa, 28 March 2017 | 5:17pm

MU raih kemenangan moral di Singapura

PENGENDALI Melaka United (MU), Eric Williams. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kemenangan 3-2 Melaka United (MU) mengatasi Geylang FC di Singapura kelmarin jelas melegakan ketua jurulatihnya, Eric Williams dalam persiapan pasukan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 9 April ini di Larkin, Johor Bahru.

Gol skuad Hang Tuah dalam aksi persahabatan itu dijaringkan pemain import Argentina, Sergio Aguero (dua gol) dan Jeon Woo Young (Korea Selatan).

Kemenangan itu membantu mereka meningkatkan moral pasukan sebelum berdepan skuad Harimau Selatan pada aksi ke sembilan Liga Super musim ini.

Willams yang lega dengan persembahan MU berkata, keputusan itu dianggap sebagai petanda positif pasukannya mampu bertindak lebih baik menghadapi baki tiga perlawanan liga untuk memperbaiki kedudukan di tangga ke-10, setakat ini.

Katanya, dia melihat terdapat kemajuan dalam persembahan pasukan pada perlawanan itu selepas empat pemain import yang sebelum mengalami kecederaan sudah kembali beraksi.

"Apa yang saya harapkan mereka mampu melakukan lebih baik dalam aksi berdepan JDT serta perlawanan selepas itu bertemu FELDA United dan PKNS FC.

"Saya yakin pemain mampu bertindak lebih agresif. Kami sudah kembali mendapatkan kesebelasan utama bahkan pemain gantian juga boleh diharapkan," katanya yang bakal berdepan UiTM FC dalam aksi persahabatan kedua pada Khamis ini.

Berita Harian X