Selasa, 28 March 2017 | 3:20pm

Pharmaniaga sasar 250 produk baharu menjelang 2024

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd mempergiat usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan sasaran membangunkan lebih 250 produk baharu menjelang 2024.

Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata banyak peluang dan cabaran baharu muncul bagi sektor penjagaan kesihatan.

Katanya, dalam Bajet 2017, kerajaan Malaysia memperuntukkan RM25 bilion untuk program penjagaan kesihatan. Ia termasuk pembinaan dan naik taraf infrastruktur penjagaan kesihatan baharu di seluruh negara.

Beliau berkata, Pharmaniaga berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang bagi pertumbuhan, tetapi sedar cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan pertumbuhan yang lebih cerah dalam sektor perniagaan swasta dan operasi luar negara," katanya dalam Laporan Tahunan 2016 syarikat itu, hari ini.

Beliau berkata, Pharmaniaga akan memberi tumpuan untuk memacu usaha kecekapan operasi ke arah mengukuhkan kedudukan utamanya dalam pasaran.

Sementara itu, Pengarah Urusannya, Datuk Farshila Emran, berkata dengan sokongan daripada peruntukan bajet kerajaan, tumpuan Pharmaniaga adalah mengukuhkan katalog produk melalui pasukan R&D.

Beliau berkata, syarikat telah memulakan projek baharu yang akan menghasilkan pengenalan ubat-ubatan yang inovatif dan mampu milik untuk rawatan jangkitan virus yang menjejaskan kira-kira 200 juta orang di seluruh dunia.

"Pharmaniaga juga akan mengembangkan perniagaannya untuk menyediakan rawatan kanser dengan membawa masuk ubat-ubatan onkologi terkini ke hospital di Malaysia dengan kerjasama syarikat antarabangsa," kata Farshila.

Bagi tahun fiskal yang berakhir 31 Disember 2016, perolehan Pharmaniaga berjumlah RM2.2 bilion, manakala keuntungan sebelum cukai sebanyak RM72 juta. - BERNAMA

12 dibaca
Berita Harian X