Khamis, 1 Januari 2015 | 8:52am
LAMPU limpah dan sinaran laser menyinari Lujiazui daerah pentadbiran Pudong di Shanghai semasa pertunjukan cahaya sebagai sebahagian daripada sambutan menjelang detik 12 malam. - Foto REUTERS

35 maut, 42 cedera rempuhan sambutan Tahun Baharu di Shanghai


ANGGOTA keselamatan cuba menghalang orang ramai daripada memasuki sebuah hospital di mana ahli keluarga mereka menerima rawatan selepas kejadian rempuhan menjelang Tahun Baharu di Bandaraya Shanghai, China, malam tadi. Sambutan menjelang detik 12 malam yang diadakan di sebuah dataran sungai itu mengorbankan 35 orang, manakala lebih 42 lagi cedera. - Foto AFP

SHANGHAI: Seramai 35 orang maut dalam rempuhan apabila orang ramai berasak-asak menyambut detik 12 malam menjelang Tahun Baharu di Bandaraya Shanghai, malam tadi, bencana kematian paling buruk menimpa bandar raya terkenal itu.

Kerajaan Shanghai dalam satu kenyataan berkata, seramai 42 orang lagi cedera dalam kejadian yang berlaku setengah jam sebelum tengah malam.

Kejadian berlaku di Bund, satu kawasan dataran tepi sungai popular di Shanghai yang biasa digunakan dalam majlis keraian besar-besaran.

Stesen televisyen CCTV America menunjukkan video keadaan jalan raya di Shanghai selepas rempuhan itu dengan dipenuhi timbunan kasut yang ditinggalkan.

Satu gambar yang dikongsi oleh Agensi Berita Xinhua menunjukkan sekurang-kurangnya seorang peserta memberikan pertolongan cemas terhadap seorang lelaki tanpa baju yang dipercayai sesak nafas, manakala beberapa orang lagi terbaring di padang berdekatan.

Punca rempuhan setakat ini masih dalam siasatan, demikian lapor Agensi Berita Xinhua.

Minggu lalu, akhbar berbahasa Inggeris, Shanghai Daily melaporkan sambutan menjelang Tahun Baharu di Bund yang biasanya akan menarik kunjungan lebih 300,000 orang, dibatalkan disebabkan masalah mengawal jumlah mereka yang datang.

Laporan itu kemudian menyatakan bahawa upacara itu tetap diadakan tetapi tidak dibuka kepada orang awam. - AP

16 dibaca
Berita Harian X