Selasa, 28 March 2017 | 12:38am

Akid, Haziq dapat peluang aksi di pentas ARRC


Mohd Akid Aziz.

KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda berbakat, Mohd Akid Aziz dan Mohd Haziq Mohd Fairues disenaraikan pasukan Uma Racing Yamaha Maju Motor bagi menghadapi perlumbaan kelas Underbone 150cc dalam Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Johor, hujung minggu ini.

Tampil mendominasi siri perlumbaan tempatan Cub Prix ketika ini dengan dua kemenangan berturut-turut selepas dua pusingan, Akid, 19, adalah penyandang juara kelas CP115 tahun lalu.

Mohd Haziq pula membuktikan kemampuannya apabila berjaya meraih dua podium pada saingan Underbone 130cc di pentas ARRC pada tahun lalu.

Bos Maju Motor, Yong Ying Hoe berkata, keputusan itu diambil bagi memberikan lebih pendedahan kepada dua pelumba muda berkenaan yang menampilkan prestasi baik di pentas Cub Prix ketika ini.

"Akid dan Haziq mempamerkan prestasi di luar jangkaan kami dan ini adalah masa sesuai untuk mendedahkan mereka dengan siri Kejuaraan Asia," kata Ying Hoe.

"Meskipun perlumbaan menggunakan jentera 150cc, namun kami fikir ia satu pendedahan berguna untuk karier mereka.

"Kedua-dua pelumba ini bersaing dalam kategori CP115 di Kejuaraan Cub Prix, jadi mungkin mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri apabila beralih menggunakan jentera 150cc.

"Ketika ujian pra musim rasmi di Pasir Gudang, kedua-dua pelumba ini ketinggalan satu saat di belakang pelumba terpantas.

"Namun kami yakin mereka akan menimba pengalaman dan pendedahan terbaik apabila berhadapan dengan pelumba lain di pentas Asia terutama kepada Akid yang dipilih oleh Hong Leong Yamaha untuk menyertai Kem Master VR46 milik juara dunia, Valentino Rossi tahun ini."

Pusingan 1 ARRC ini akan berlangsung di Litar Johor, Pasir Gudang, pada hujung minggu ini dan peminat berpeluang menyaksikan perlumbaan berprestij peringkat Asia berkenaan secara percuma.

Berita Harian X