Rabu, 31 Disember 2014 | 11:02pm

Tiga insiden helikopter PDRM terhempas dalam 15 tahun


KEADAAN helikopter Ecureuil Unit Udara Polis yang terhempas di Kampung Rambai Lama Gobek, Tanah Merah ketika misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir pada jam 6.15 petang tadi. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Kejadian helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas di Kampung Rambai, Tanah Merah, Kelantan hari ini adalah yang ketiga membabitkan helikopter pasukan itu dalam tempoh 15 tahun, kebetulan daripada jenis yang sama iaitu AS355 Ecureuil buatan Perancis.

Dalam insiden kemalangan terbaharu pada 6.30 petang tadi, dua juruterbang pesawat berkenaan bersama dua kru terselamat tetapi mengalami kecederaan pada anggota badan.

Sebelum ini, sebuah helikopter PDRM terhempas pada 14 Disember 2010 yang mengorbankan seorang juruterbang pelatih polis, Inspektor Mohammad Sukri Othman, 31.

Helikopter yang dipandu Mohammad Sukri terhempas di kawasan bekas lombong di Malim Nawar, dekat Kampar, Perak, semasa beliau menjalani sesi latihan penerbangan solo.

Pada 10 Februari 1999, tiga anggota unit PDRM dan dua kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan cedera apabila helikopter yang mereka naiki, terhempas ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ketika itu mereka terbabit dalam tugasan menjalankan kerja pemantauan alam sekitar melalui udara.

Sehingga kini PDRM mempunyai 10 helikopter dan beberapa pesawat Pilatus, Cessna and Beech craft King Air 350.

- BERNAMA

Berita Harian X