Isnin, 27 March 2017 | 11:24am

Fiesta Muslimah BH 2017 sasar 30,000 pengunjung

gn4id:19671794

KUALA LUMPUR: Penganjuran tahun ketiga Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), bermula 2 hingga 4 Jun depan menyasar kehadiran 30,000 pengunjung.

FMBH'17 tahun ini dijangka lebih meriah berikutan ia diadakan seiring dengan sambutan 60 tahun BH yang menjanjikan pelbagai acara dan aktiviti menarik berbanding penganjuran sebelumnya.

Pengerusi FMBH, Jami'ah Sokri, berkata acara yang diadakan untuk kali ketiga, pada minggu pertama Ramadan ini bakal memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai dalam membuat pelbagai persiapan dan kelengkapan sempena sambutan Aidilfitri.

Katanya, penganjuran ini menunjukkan BH memberi sokongan padu terhadap kebangkitan industri fesyen Muslimah yang berkembang pesat sejak kebelakangan ini sekali gus mempengaruhi cara berhijab dan berpakaian mengikut syariah.

"Industri fesyen Muslimah menyasarkan perolehan lebih RM400 bilion di seluruh dunia. Usahawan dalam bidang itu seharusnya mengambil peluang atas permintaan yang tinggi terhadap produk berasaskan Muslimah.

"Justeru, dalam konteks ini, FMBH '17 mampu menjadi platform usahawan pelbagai jenis produk memperkenal, memasar dan mengukuhkan jenama masing-masing sepanjang tiga hari fiesta ini," katanya, di sini semalam.

Jami'ah berkata, FMBH'17 pastinya menjadi tempat paling sesuai pula kepada pengunjung untuk berjimat sempena musim perayaan dalam kalangan peniaga yang mengambil bahagian yang bakal memberikan harga terbaik dan memuaskan.

"Semua kelengkapan yang diperlukan ada di sini sambutan Aidilfitri boleh didapati di bawah satu bumbung kerana kami menawarkan lebih 100 bazar jualan daripada pilihan fesyen Muslimah, aksesori, perhiasan rumah hingga produk kosmetik dan kecantikan," katanya.

Tarik usahawan

Jami'ah berkata, pengunjung turut berpeluang berjumpa dengan selebriti yang dijangka membuka gerai jualan produk masing-masing.

"Selain jualan bazar, pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan fesyen, persembahan nyanyian artis terkenal, cabutan bertuah dan jualan 'happy hour' juga bakal diadakan," katanya.

Penganjuran FMBH sebelum ini berjaya membuka ruang kepada usahawan untuk memperkenal, mempromosi dan mengukuhkan produk Muslimah bukan saja di peringkat tempatan, malah melangkaui pasaran global yang jauh lebih besar untuk pempamer.

Ia dikunjungi pengunjung antarabangsa yang turut mengintai peluang untuk memasarkan produk fesyen Muslimah di negara masing-masing, antaranya Mesir, Singapura dan Brunei.

FMBH pertama kali diadakan, di Zebra Square Kuala Lumpur, pada 23 November 2014 berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung, manakala kali kedua, di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, Kuala Lumpur (24 dan 25 Oktober 2015), pula dikunjungi lebih 25,000 orang.

Justeru, bagi merancakkan FMBH 2017, orang ramai dialu-alukan menyertai bazar jualan ini yang sudah mula dibuka sekarang untuk tempahan.

Mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bazar jualan boleh menghubungi pihak penganjur.

Berita Harian X