Ahad, 26 March 2017 | 8:11am

Federer, Wawrinka terus mara di Terbuka Miami


STAN Wawrinka (kiri) dan Roger Federer mara di Terbuka Miami. - Foto AFP

MIAMI: Roger Federer berjaya meneruskan usahanya mencari gelaran ketiga Terbuka Miami selepas mengatasi pemain kelayakan Amerika Syarikat, Frances Tiafoe, awal pagi tadi.

Tiafoe, berkedudukan 101 dunia, bergelut untuk membalas servis Federer, namun tampak kuat untuk memaksa penentuan 'tie-break'.

Pemain berusia 19 tahun yang juga anak kepada pendatang Sri Lanka kemudian mematahkan servis Federer pada perlawanan pertama set kedua, namun pemenang 18 kali Grand Slam bangkit untuk muncul pemenang dengan 7-6 (7/2) 6-3.

Federer berada dalam prestasi yang baik selepas menang di Terbuka Australia serta Indian Wells setakat ini dan meneruskan rekodnya kepada 14-1.

Pemain berusia 35 tahun itu menjuari Terbuka Miami pada 2005 dan 2006.

Sementara itu, juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat, Stan Wawrinka, 32, memulakan saingan dengan baik apabila menewaskan pemain Argentina, Horacio Zeballos 6-3, 6-4 di Crandon Park.

Tanpa kehadiran Andy Murray dan Novak Djokovic, dua pemain ranking teratas dunia, Wawrinka adalah pilihan pertama dan dia menyerlah untuk mara ke final Indian Wells, minggu lalu sebelum ditewaskan Federer. - AFP

Berita Harian X