Sabtu, 25 March 2017 | 10:04pm

Melaka United uji Geylang FC

JURULATIH MU, Eric Williams. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Skuad Liga Super Melaka United (MU) bakal menguji Geylang FC di Stadium Bedok, Singapura, malam esok.

Jurulatih MU, Eric Williams berkata, dia akan menurunkan barisan terbaik pada perlawanan persahabatan berkenaan sebagai persediaan mengharungi saingan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super, 9 April depan.

Melaka kini mengutip lapan mata dan menghuni tangga ke-10 carta liga hasil dua kemenangan, dua seri serta empat kali kalah.

Justeru Williams mahu anak buahnya bertindak lebih agresif dan menajamkan penyudahan mereka demi memastikan tiga mata dapat dikumpul pada saingan selepas ini, selain memperbaiki kelemahan terutama selepas aksi hambar beberapa pemain sebelum ini.

"Saya juga akan memberi ruang kepada beberapa pemain di posisi berbeza untuk menilai keupayaan mereka dan memberi peluang beraksi pada baki tiga perlawanan pusingan pertama liga ini.

"Apa yang saya harapkan, semua empat import yang kembali beraksi mampu memberi gambaran kepada saya untuk merencana strategi terbaik," katanya.

Pada aksi di Singapura, MU dijangka tidak menurunkan Amri Yahyah dan Khair Muhammad Jefri Jones yang baru pulang beraksi mewakili Malaysia berdepan Filipina pada aksi persahabatan di Manila, Rabu lalu.

Apapun, tanpa dua kelibat pemain terbabit, Williams dijangka berpeluang menguji lima pemain yang belum pernah beraksi dalam saingan liga dan Piala FA sebelum ini ketika berdepan Geylang FC.

Berita Harian X