Sabtu, 25 March 2017 | 10:50am
SAINTIS dan penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Kamariah Long. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Penyelidik bioteknologi wanita disegani

KAMARIAH bersama sebahagian produk yang dihasilkan menerusi penyelidikannya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SERDANG: Melihat perkembangan bidang bioteknologi kian berkembang, saintis dan penyelidik di Pusat Penyelidikan Bioteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Kamariah Long, 58, selesa menghabiskan banyak masanya menjalankan pelbagai kajian bagi meningkatkan nilai tambah hasil pertanian.

Yang pasti, pembabitan komited Kamariah yang juga Pegawai Penyelidik Utama (VK7) di MARDI, melayakkan dirinya merangkul hampir 60 anugerah inovasi penyelidikan, dalam dan luar negara.

Pembabitan bekas Timbalan Pengarah Program Bio-Pemprosesan dalam bidang bioteknologi makanan selama lebih 30 tahun, turut membolehkan beliau mencipta 10 produk baharu difailkan untuk mendapatkan hak cipta (IP).

Kesungguhan usaha dilakukan, sekali gus membuktikan hasil penyelidikannya bukan saja sekadar mampu terperap di makmal tetapi boleh dikomersialkan dan mendapat tempat dalam masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Inovasi dicipta

Beliau yang memiliki sifat tidak mudah putus asa juga sudah menghasilkan lebih 100 kertas kerja penyelidikan berwasit (Cumulative citation 2035 (H-Index 25) yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kejayaan itu seiring prinsipnya sebagai penyelidik iaitu, bukan hanya menjalankan kajian untuk menghasilkan kertas penyelidikan dan diterbitkan dalam jurnal terkemuka, tetapi lebih daripada itu termasuk memajukan bangsa serta negara.

Kamariah berkata, sehingga kini beliau mengetuai 14 projek penyelidikan dan lima projek pra-pengkomersialan kesemuanya bernilai RM17 juta.

Katanya, selain daripada itu beliau juga menerima lebih kurang RM3 juta geran penyelidikan kontrak daripada pelbagai syarikat swasta.

"Sehingga kini, saya sudah menghasilkan enam inovasi produk menggunakan kelapa antaranya adalah seperti minyak kelapa dara, It Works, minyak kelapa dara tambah nilai (AVCO), cuka air kelapa berjenama Cocos.

"Selain itu, saya juga menghasilkan Cocogurt juga yogurt bukan tenusu mempunyai kandungan asid folik yang tinggi dan bebas laktosa serta minuman kesihatan berasaskan minyak kelapa dara emulsi untuk kanak kanak.

"Kajian itu juga membawa saya menghasilkan rangkaian produk mengandungi agen anti penuaan dan pemutihan daripada testa kelapa di fermentasi menggunakan mikrob terpilih," katanya ketika ditemui di pejabatnya di MARDI, di sini, semalam.

Komersialkan produk penyelidikan

Kamariah berkata, kepakarannya dalam bidang lemak dan minyak juga membawa kepada penemuan istimewa khasiat minyak kelapa dara sebagai makanan berfungsi.

Baginya, seorang penyelidik yang berjaya perlu bekerja dan berfikir bukan hanya di waktu pejabat tetapi sepanjang masa. Pernah berdepan dengan beberapa percubaan yang gagal, ia bukanlah penghalang kepada Kamariah untuk terus mencipta inovasi.

Justeru, beliau turut menghasilkan tempe versi baharu yang diperbuat daripada kacang hijau dengan pelbagai khasiat dikenali sebagai My G Mung bean.

"Selain produk minyak kelapa dara berjenama It Works di komersial, saya juga berjaya ketengahkan cuka air kelapa bersama syarikat ARCA Trading Sdn Bhd. Produk minuman sedia minum, Cocos ini mempunyai khasiat kesihatan bagi penjagaan sistem penghadaman," katanya.

Beliau berkata, inovasi dalam penyelidikan cuka air kelapa ini menemukan kaedah fermentasi menggunakan mikrob terpilih mampu memberi nilai tambah terhadap air kelapa.

"Penghasilan produk minyak kelapa dara berjenama It Works yang dilesenkan kepada syarikat Cocorosco Sdn Bhd turut berjaya menembusi pasaran luar negara dieksport ke Jepun, Australia Singapura dan baru baru ini ke China," katanya.

Ibu kepada empat anak ini berkata, minyak kelapa dara AVCO juga diberikan hak cipta di Malaysia, India, Jepun, Singapura, Filipina dan German.

"Buat masa ini AVCO diperkenalkan di pasaran sebagai bahan anti-jerawat (acnaed TM ) dan anti-kelemumor (scalpro TM)

"Industri kelapa kian lama malap boleh kembali pulih sekiranya kajian penyelidikan dijalankan mempunyai elemen berdaya saing," katanya.

Bijak bahagi masa

Sebagai saintis dan penyelidik, Kamariah sentiasa memikirkan mengenai kajian yang sedang dilakukan, di samping menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa menjalankan kajian.

Katanya, sifat semula jadi wanita boleh melakukan pelbagai pekerjaan dalam satu masa akan dapat memberikan sumbangan sangat besar dan bermakna kepada ekonomi negara.

Katanya, peranan saintis wanita dalam masyarakat sangat penting, namun mereka perlu membahagikan masa dengan bijak.

"Jika di rumah, dahulukan keluarga dan jika di pejabat, lakukan kerja pejabat kecuali ketika kecemasan.

"Prinsip saya mudah. Wanita tidak akan berjaya jika mempunyai keluarga yang huru-hara seakan menambahkan masalah.

"Oleh itu, pada saya, walau apa sekalipun yang terjadi, keluarga harus diutamakan dulu," katanya.

Biodata

Dr Kamariah Long

* Pegawai Penyelidik Utama (VK7) di MARDI

* Jawatan pernah disandang: Timbalan Pengarah Program Bio-Pemprosesan, MARDI

* Mula bertugas di MARDI: 1984

* Asal: Johor Bahru

* Tarikh lahir : 11 Oktober 1959

* Umur: 58 tahun

* Pendidikan: Doktor Falsafah dalam Teknologi Enzim, Fakulti Bioteknologi Universiti Putra Malaysia & Universiti Westminster, London (1997)

Antara Anugerah;

- Women Inventor of The Year oleh International Federation Inventors Association (2006).

- Excellent Scientist Award MARDI (2006).

- Excellent Service Award in MARDI (1992; 2003; 2006).

- Top Research Scientist oleh Akademi Sains Malaysia (2012).

Antara produk penyelidikan yang dihasilkan dan didaftarkan untuk mendapatkan hak cipta (IP)

- Minyak kepala dara tambah nilai - Mendapat hak cipta di Malaysia, Jepun dan Indonesia.

- Minyak olein tiada keladak pada suhu rendah - mendapat hak cipta di Malaysia.

- Minyak erkalori rendah berasaskan minyak sawit.

- Tempe kacang hijau yang mempunyai pelbagai fungsi kesihatan.

- Yogurt bukan tenusu berasaskan bahan sampingan kelapa.

Berita Harian X