Sabtu, 25 March 2017 | 10:36am

Kempunan kediaman baharu


PEMBELI rumah menunjukkan keadaan kediaman yang dibeli tetapi belum siap di Kampung Banggol Judah. - Foto Nik Aminah Yazmeen Ramsa

MACHANG: Lebih 20 pembeli rumah teres di Kampung Banggol Judah, di sini, kecewa berikutan kediaman yang dibeli sejak tujuh tahun lalu masih belum boleh diduduki kerana terbengkalai.

Penduduk mendakwa, rumah berkenaan mula dibina pada 2008 membabitkan 47 unit yang sepatutnya siap dan diserahkan kepada pembeli pada 2010.

Lebih merumitkan, penduduk memaklumkan pelbagai usaha dilakukan termasuk menemui pemaju untuk mendapatkan penjelasan, namun menemui jalan buntu.

Pembeli, Nik Mohd Ikram Nik Hassan, 34, berkata impian mereka sekeluarga untuk mendiami rumah baharu sejak 2010 masih tidak kesampaian.

"Saya terkilan kerana pemaju tidak memaklumkan perkembangan kepada pembeli berhubung proses pembinaan rumah berkenaan.

"Sebelum ini sudah beberapa kali saya ke pejabat pemaju untuk bertanyakan perkara itu, namun pihak pemaju memberi pelbagai alasan.

"Sehingga kini, kami sudah buntu untuk mendapatkan pembelaan daripada siapa kerana kali terakhir ke syarikat pemaju, premis mereka sudah ditutup," katanya ketika ditemui BH Online.

Beliau berkata, kediaman berkenaan dibeli enam tahun lalu dengan harga sekitar RM75,000 ke RM100,000 bergantung kepada keluasan.

"Ada antara pembeli yang membayar ansuran bulanan kepada bank sebanyak RM350 hingga RM750 sejak 2010 tetapi sehingga kini ianya terbengkalai dan pada masa sama kami terpaksa menanggung beban menyewa rumah lain," katanya.

Sekumpulan pembeli meninjau keadaan kediaman mereka.

Pembeli lain, Che Malini Daud, 32, berkata dia turut terkilan kerana projek perumahan itu bukan sahaja dipenuhi semak samun malah berlaku kerosakan selain menjadi sarang penagih dadah.

"Saya tidak tahu apa masalah sebenar, tetapi saya dan pembeli lain berharap agar pihak berkaitan dapat membantu masalah yang kami hadapi ini," katanya.

Berita Harian X